Tidak perlu hadkan jemaah, ikut kapasiti saiz masjid

Gambar hiasan (Foto Bernama) - Gambar kecil: Aidi Moktar
Gambar hiasan (Foto Bernama) - Gambar kecil: Aidi Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Syarat membenarkan semula solat lima waktu secara berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau di Sabah bermula Jumaat ini sepatutnya tidak perlu dihadkan kepada 45 orang sebaliknya hanya mengikut kapasiti bangunan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Bekas Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri merangkap Menteri Hal Ehwal Sabah, Datuk Aidi Moktar berkata, beberapa negeri seperti Pahang, Negeri Sembilan, Perlis dan Selangor mengambil langkah realistik membenarkan solat lima waktu dan solat Jumaat mengikut saiz serta kapasiti sesebuah masjid dengan SOP ketat seperti yang dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

"Kita perhatikan para jemaah sungguh berdisiplin mengikut SOP dan penjarakkan sosial serta memakai pelitup muka.

"Sepanjang tempoh kerajaan memberi kebenaran ketika PKPB penghujung tahun lalu, tidak pula kita mendengar ada kluster masjid dan rumah-rumah ibadat," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Aidi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah (Warisan) meminta pihak berkaitan mengkaji semula perkara itu.

"Saya berpandangan pihak berkuasa agama dan kerajaan perlu mengkaji semula dasar yang hanya membenarkan 45 orang untuk solat Jumaat dan 15 orang untuk solat berjemaah.

"Untuk membolehkan umat Islam dan penganut agama lain melaksanakan ibadah solat serta upacara rutin di rumah ibadat, kerajaan sewajarnya memberi kebenaran mengikut kapisiti dan saiz masjid atau rumah-rumah ibadat agama lain dan bukan menghadkan jumlahnya.

"Saya mohon pihak berkuasa agama Islam di Sabah dapat memberi pandangan kepada kerajaan dengan justifikasi dan alasan yang munasabah seperti yang diharapkan oleh msyarakat Islam dan juga penganut-penganut agama lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, kerajaan tidak boleh pilih kasih dengan membenarkan pusat membeli-belah dan lain-lain yang lebih sukar untuk melaksanakan SOP beroperasi dengan kehadiran orang ramai berbanding pusat ibadat.

"Urusan rumah-rumah ibadat masjid dan surau adalah berkaitan hal ehwal agama Islam di bawah kuasa Negeri.

"Kerajaan negeri sewajarnya bertindak rasional dan tidak terikat dgn keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata.

"Kerajaan juga harus peka rungutan masyarakat Islam kerana dasar yang ada seolah-olah menyekat kebebasan mereka untuk menunaikan ibadah sedangkan jika dibenarkan, terbukti mereka amat berdisiplin dan mematuhi SOP," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!