Tingkat kawalan cegah penularan Covid-19 nelayan asing

Tujuh kru termasuk tekong dipercayai warganegara Vietnam ketika ditahan oleh Kapal Peronda KM Tegas yang sedang melaksanakan rondaan Ops Kuda Laut di sekitar perairan Terengganu kira-kira jam 10 pagi pada Khamis.
Tujuh kru termasuk tekong dipercayai warganegara Vietnam ketika ditahan oleh Kapal Peronda KM Tegas yang sedang melaksanakan rondaan Ops Kuda Laut di sekitar perairan Terengganu kira-kira jam 10 pagi pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan kawalan perairan negara dengan menahan nelayan asing yang masuk secara haram bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, usaha itu diteruskan walaupun berdepan cabaran keadaan cuaca tidak menentu terutama ketika peralihan monsun timur laut.

"Semalam (Khamis) kita telah menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 65 batu nautika dari Kuala Terengganu.

"Bot nelayan asing itu ditahan Kapal Peronda KM Tegas yang sedang melaksanakan rondaan Ops Kuda Laut sekitar perairan Terengganu kira-kira jam 10 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh kru termasuk tekong dipercayai warganegara Vietnam berada di dalam bot berkenaan bersama 40 kilogram (kg) ikan, 50 kg sotong basah dan 500 liter diesel.

Katanya, bot nelayan Vietnam itu dibawa masuk ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut dan hasil tangkapan serta diesel juga turut dirampas.

"Tangkapan ini dilakukan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang mungkin datang daripada warga asing yang menceroboh perairan negara.

"Kita juga meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, orang ramai boleh melayari Facebook APMM untuk menyaksikan sambutan Ulang Tahun ke-16 APMM pada 15 Februari ini yang pertama kali diadakan secara maya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!