DBKL sita 15 rumah urut, tiga hotel sejak Januari
KUALA LUMPUR - Sebanyak 15 premis rumah urut dan tiga buah hotel antara yang dikenakan tindakan penutupan dalam Operasi Tindakan Khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak awal Januari lalu.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, terbaharu pada malam Khamis pihaknya dengan kerjasama pihak polis melaksanakan Operasi Tindakan Khas rumah urut di dua lokasi berasingan di Jalan Langkawi, Setapak dan Jalan Kuchai Maju, Seputeh.
Menurutnya, hasil maklumat awam, DBKL telah terlebih dahulu membuat siasatan dan risikan awal serta mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral di kedua- dua lokasi berkenaan.
"Hasil serbuan dijalankan mendapati tiga premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan rumah urut.
"Tiga notis kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan kesemua premis tersebut ditutup serta merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merobohkan 19 struktur dinding yang dijadikan bilik tanpa kelulusan dan menyita 77 peralatan dalam premis termasuk tilam, tuala, monitor, perakam kamera litar tertutup (CCTV), kondom, minyak pelincir, ampilfier dan lain-lain peralatan.
Jelasnya, hasil semakan di kesemua premis berkenaan, seramai 11 tukang urut wanita (disyaki pekerja seks) warganegara Filipina, Thailand, Indonesia dan lima warga tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan untuk tindakan lanjut oleh pihak polis.
"Tindakan penguatkuasaan ini dilakukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
"Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan sebarang aduan oleh warga kota kepada pihak DBKL boleh disalurkan secara dalam talian menerusi http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!