PN Sabah hargai sumbangan 'riders'
SANDAKAN - Bagi menghargai sumbangan penghantar makanan dan barangan, parti komponen serta sekutu Perikatan Nasional (PN) Sandakan pada Jumaat menganjurkan program agihan makanan kepada penyedia perkhidmatan itu.
Exco Armada Nasional (Biro Kebajikan Luar Bandar) Bersatu, Henry Hamdan berkata, golongan itu merupakan petugas barisan hadapan yang memudahkan kehidupan masyarakat khususnya ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Jadi, sebagai menghargai jasa mereka, kami mempelawa para 'riders' ini untuk datang mendapatkan set makanan bermasak secara pandu lalu sebagai mematuhi prosedur operasi standard bagi mengelak penularan Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita pada program itu di sini.
Menurut Henry, sebanyak 500 pek makanan akan diagihkan mulai jam 10 pagi hingga 4 petang pada Jumaat dan berharap akan menganjurkan lebih banyak program serupa pada masa akan datang.
Seorang penghantar makanan Food Panda, Jackie Lee Tumik, 20-an, yang ditemui terharu dengan sumbangan itu serta gelaran 'petugas barisan hadapan'.
Dia yang terlibat dalam bidang itu sejak 10 bulan lalu, mengakui berdepan pelbagai cabaran termasuk keselamatan di jalan raya serta kerenah pelanggan di samping risiko jangkitan Covid-19.
Rakannya, Hamiddin Japarudin, 30-an, tidak menjangka ada pihak yang mahu memberi penghargaan kepada mereka dan menghargai sumbangan makanan tersebut.
"Saya bekerja daripada jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari, kadangkala tidak sempat makan kerana perlu memenuhi pesanan pelanggan terlebih dahulu," katanya yang telah menjalankan perkhidmatan itu lebih setahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!