Usahawan LZS sumbang tenaga sedia pek makanan untuk 'frontliner'

Makanan dimasak di atas trak makanan bagi memastikan ia panas sewaktu diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja syif malam.
Makanan dimasak di atas trak makanan bagi memastikan ia panas sewaktu diagihkan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja syif malam.
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan trak makanan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbangkan tenaga bagi menyediakan pek makanan untuk petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang.

Walaupun kebanyakannya terjejas pendapatan berikutan Covid-19, namun ia tidak melunturkan semangat mereka untuk sama-sama menyumbang tenaga dengan menyediakan pek makanan tersebut.

Seorang usahawan trak makanan LZS, Mohd Najib Mohd Rais, 47, berkata, dia bersyukur apabila diberi peluang menyumbang tenaga bagi menyediakan pek makanan itu yang diagihkan kepada petugas barisan hadapan sekitar jam 7 petang.

"Makanan akan dimasak di atas trak ini supaya ia masih panas sewaktu diedarkan kepada mereka yang bertugas syif malam," katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan LZS pada Jumaat.

Sementara itu, Mohd Najib berkata, pendapatannya terjejas hampir 30 peratus buat masa ini berikutan wabak Covid-19.

'Namun, saya percaya rezeki masih ada untuk kami sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, sebanyak 1,250 pek makanan telah diedarkan buat petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang sejak 10 Februari lalu.

Beliau berkata, pemberian pek makanan itu secara tidak langsung dapat membantu menjana pendapatan usahawan LZS yang terjejas sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Pek makanan ini disediakan sepenuhnya oleh usahawan asnaf bermula daripada memasak, membungkus dan mengedarkan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas syif malam," katanya.

Tambah beliau, sumbangan pek makanan sepanjang tempoh tersebut juga menggunakan peruntukan amil dan tidak menjejaskan bantuan lain khususnya buat asnaf fakir dan miskin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!