Persoalan kerakyatan, etnik tidak boleh dicampur aduk

Zubedy berkongsi pandangan menerusi ucapan video sempena Tahun Baharu Cina.
Zubedy berkongsi pandangan menerusi ucapan video sempena Tahun Baharu Cina.
A
A
A

SHAH ALAM - Persoalan bangsa dan kerakyatan merupakan dua isu berbeza dan tidak patut dicampur aduk.

Penulis dan blogger, Anas Zubedy berkata, beliau melihat persoalan 'apakah kaum anda?' sudah tidak relevan untuk ditanyakan lagi pada masa kini dan ada kalanya ia dilihat sebagai berniat buruk.

Menurutnya, persoalan itu tidak relevan kerana sebagai rakyat Malaysia ia adalah berkaitan isu kerakyatan.

"Adakah kamu Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain? Itu semua adalah persoalan berkaitan perihal etnik.

"Kedua-duanya bukanlah perkara yang sama dan sayangnya kurang kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang perbezaan kedua-dua perkara ini," katanya menerusi ucapan video sempena Tahun Baharu Cina.

Anas yang juga Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd berkata, lebih teruk apabila ada pihak yang mengetengahkan persoalan bangsa itu untuk tujuan politik.

"Percaturan licik politik ini hanya memanfaatkan golongan politikus tetapi tidak memberi apa-apa manfaat kepada kita sebagai rakyat Malaysia.

"Ia hanya menyakitkan kita, memecahbelahkan kita dan membuat kita mempersoalkan kesetiaan antara satu sama lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Anas, hela nafas pertama setiap rakyat Malaysia yang dilahirkan adalah sebagai warga Malaysia.

Beliau berkata, ia juga ketara apabila rakyat Malaysia berada di luar negara masing-masing akan merujuk diri sebagai warga Malaysia tidak kira apa bangsa mereka.

Katanya, ia untuk membezakan warga Cina Malaysia dengan warganegara China atau Singapura.

"Begitu juga orang Melayu, untuk membezakan mereka dengan Melayu warga Indonesia atau dari selatan Thailand. Sama juga dengan yang lain-lain.

"Oleh itu, kita perlu berhenti melaga-lagakan antara kerakyatan kita dengan latar belakang etnik kerana ia hanya membawa kepada perpecahan," katanya.

Tegas Anas, rakyat Malaysia perlu mewujudkan satu persekitaran yang positif di mana setiap lapisan masyarakat boleh berbangga sebagai warga Malaysia.

Pada masa sama, katanya, ia dapat menjiwai asal usul etnik mereka.

-end-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!