Kaki pancing bawa pulang 50kg ikan talang
KUALA TERENGGANU - Kebenaran kegiatan memancing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 memberi sumber rezeki bagi kaki pancing di sekitar kawasan muara sungai Terengganu.
Sebanyak 12 ekor ikan talang dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 50 kilogram (kg) berjaya dinaikkan bermula awal pagi pada Jumaat.
Seorang pemancing, Mohd Shah Amri Ismail, 30, dari Kampung Batu Buruk, di sini berkata, usahanya turun dari rumah seawal pagi selepas solat Subuh membuahkan hasil setelah umpan pancingnya mengena seekor ikan talang seberat 4.5 kg.
"Saya sampai di sini selepas subuh kerana waktu kemuncak ikan talang masuk ke muara sungai ini menjelang matahari naik pada sebelah pagi.
"Saya bersyukur kerana dapat bawa balik seekor ikan talang untuk santapan keluarga hari ini (Jumaat). Sekurang-kurangnya ia dapat membantu menjimatkan belanja dapur," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi memancing berhampiran jambatan angkat, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Mohd Sabri Abu Bakar, 36, dari Kg Tanjung Surau Pasir pula berkata, kebanyakan ikan talang telah mula memasuki kawasan muara sungai itu sejak awal tahun ini.
Katanya, keputusan kerajaan membenarkan pemancing memancing benar-benar memberikan kelegaan kepada mereka kerana kebanyakan ikan spesies talang boleh didapati bermula awal tahun hingga April.
"Selepas tempoh itu agak sukar untuk dapat ikan talang di kawasan ini. Selain ikan talang, terdapat juga ikan siakap, kuku dan haruan tasik. Saya juga pernah naikkan seekor ikan talang seberat 9.5kg di sini, sebelum ini.
"Disebabkan keunikan selain menjadi lubuk ikan, lokasi ini menjadi tumpuan kebanyakan kaki pancing dari seluruh negara sebelum PKP," katanya.
Seorang lagi pemancing, Wan Mohd Nazri Wan Ngah, 42, dari Kampung Nesan 4 berkata, walaupun kegiatan memancing sudah dibenarkan, individu yang memancing di situ tetap mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Dari segi jarak antara pemancing di sini juga ditetapkan sejauh dua meter antara satu sama lain.
"Selain itu, kita juga mewajibkan semua pemancing yang datang ke sini memakai topeng muka dan perlu membawa cecair pembasmi kuman," katanya.
Pada 5 Februari lalu, Jabatan Perikanan mengesahkan aktiviti memancing ikan bagi tujuan sara hidup dibenarkan termasuk individu bukan bekerja sebagai nelayan.
Kenyataan mengenai kebenaran memancing dimuat naik menerusi Facebook agensi itu Jumaat lalu malah peraturan baharu tersebut turut diperakui Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis minggu lalu.
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan proses sepanjang PKP, namun aktiviti memancing bertujuan hobi masih lagi tidak dibenarkan.
Kebenaran kegiatan berkenaan meliputi sungai, tebing, lombong, tasik dan pesisir pantai yang menuntut pemancing mematuhi SOP yang ditetapkan MKN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!