PM sambut Tahun Baharu Cina dengan norma baharu
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri berpeluang meraikan sambutan Tahun Baharu Cina melalui persidangan video yang dianjurkan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) pada Jumaat.
Menurutnya, sambutan tersebut disertai semua pimpinan Gerakan melibatkan ahli jawatankuasa Pusat, Wanita dan Pemuda yang diketuai Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
“Sambutan tersebut turut disertai oleh pimpinan tertinggi parti dalam Perikatan Nasional (PN), Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP),” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.
Muhyiddin turut berterima kasih atas jemputan yang cukup meriah walaupun disambut dengan suasana norma baharu ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pandemik tersebut memberi cabaran besar kepada kerajaan dan rakyat.
“Namun, Malaysia mampu untuk bangkit dan menjadi lebih gemilang dengan keyakinan kerja keras pimpinan negara serta kerjasama yang diberikan seluruh lapisan masyarakat.
“Kedatangan tahun baharu ini akan membangkitkan iltizam yang lebih jitu daripada rakyat, khususnya masyarakat Tionghua untuk bekerja lebih keras bagi memperoleh kejayaan atau kemenangan,” katanya.
Sambutan tersebut berakhir dengan menggaul Yee Sang iaitu makanan tradisi Cina yang sinonim bagi masyarakat setiap kali tiba sambutan Tahun Baharu Cina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!