Sistem pendidikan gagal capai keseimbangan akibat Covid-19
SHAH ALAM - Falsafah pendidikan kebangsaan perlu diletakkan semula pada kerangka yang betul iaitu menyejahterakan setiap pelajar termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, salah satu cabang kesejahteraan adalah keseimbangan sistem pendidikan itu sendiri meliputi jasmani, rohani, intelek dan emosi.
Beliau berkata, namun pada hari ini ketika negara berdepan pandemik Covid-19, keseimbangan itu dilihat telah gagal.
"Jelas dalam pendidikan sendiri, kita gagal memberi keseimbangan kepada pelajar kita. Jadi bagi saya ini adalah satu kegagalan yang besar.
"Kita dapati masalah mental sebagai salah satu masalah OKU bukan dari segi fizikal tetapi masalah mental yang mungkin lebih teruk kerana kita tidak dapat mengesan sama ada pelajar mengalami kemurungan dan sebagainya.
"Ini soal yang penting kalau kita tidak faham kesejahteraan diri," katanya dalam Program Wacana Al-Quran Siri ke-84 bertajuk ‘Kesejahteraan Hidup OKU - Antara Impian dan Realiti' di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.
Wacana tersebut dibawakan oleh CELPAD IIUM dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), IIUM CENTRIS, IIUM Disability Services Unit (DSU) dan Sahabat YADIM IIUM dengan misi MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah melalui Baca, Faham dan Amal.
Hadir sama menjadi panelis ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Ras Adiba Mohd Radzi.
Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail pula bertindak sebagai moderator manakala qari jemputan, Abdul Khair Jalil memperdengarkan surah Al-Qasas ayat 77.
Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, soal ketidakseimbangan dan ketidaksamarataan juga sebenarnya sudah wujud bukan hanya antara golongan OKU dan bukan OKU tetapi dalam situasi golongan biasa.
Katanya, keciciran pelajar luar bandar dalam norma baharu pendidikan fasa Covid-19 adalah contoh jelas.
"Jadi soalnya sekarang ini di situ sahaja ketidakseimbangan itu memang wujud apatah lagi dengan OKU," katanya.
Bagaimanapun pada masa sama, beliau percaya kesejahteraan juga boleh dirasai dalam hati setiap insan sebagaimana istilah digunakan dalam falsafah pendidikan negara, insan sejahtera.
"Insan sejahtera bermaksud pada peringkat itu kita semua sejahtera tidak kira berkerusi roda atau tidak, lelaki atau perempuan. Dalam hati masing-masing kita sebenarnya sudah boleh merasa sejahtera.
"Kadang-kadang OKU lebih sejahtera daripada orang bukan OKU kerana kita banyak kerenah disebabkan kita mempunyai kebebasan. Mereka (OKU) merasakan mereka boleh mengawal diri mereka tetapi kita tidak," kata beliau lagi.
Menurutnya, kesejahteraan dan keseimbangan juga datang daripada ketaatan dan kepercayaan kepada tuhan berlandaskan al-Quran.
Justeru, setiap insan perlu kembali semula kepada al-Quran kerana tanpa kepercayaan atau kepatuhan kepada tuhan, keseimbangan itu tidak akan dapat dicapai.
"Apabila memperoleh keseimbangan, barulah kita dapat kesejahteraan diri, seterusnya kita boleh menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.
"Jika pelajar sendiri tidak sejahtera, keluarganya mungkin tidak sejahtera kemudian masyarakat juga tidak sejahtera, seterusnya begitu juga negara dan dunia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!