Golongan OKU perlu diambil berat oleh masyarakat Islam

Luqman sebagai panelis Program Wacana Al-Quran Siri ke-84 bertajuk ‘Kesejahteraan Hidup OKU - Antara Impian dan Realiti' di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Luqman sebagai panelis Program Wacana Al-Quran Siri ke-84 bertajuk ‘Kesejahteraan Hidup OKU - Antara Impian dan Realiti' di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM – Islam mengkehendaki supaya setiap manusia saling membantu antara satu sama lain selagi mempunyai akal yang sempurna.

Sehubungan itu, golongan OKU perlu diambil berat oleh masyarakat Islam supaya mereka mampu berdiri dan duduk sama sebagai mana insan lain.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah berkata, kemudahan yang sempurna perlu disediakan dalam memastikan golongan OKU juga dapat menjalani kehidupan sebagai manusia biasa serta melaksanakan tanggungjawabnya.

Jelas beliau, ini kerana golongan OKU tetap mempunyai tanggungjawab sebagai seorang mukallaf selagi mereka mempunyai akal yang sempurna.

“Contoh mudah, mereka juga ada hak untuk ke masjid menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat, maka di pihak masjid perlu menyediakan prasarana bagi memudahkan mereka ini melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim.

“Tempat wuduk yang sempurna untuk mereka, bagaimana tangganya, jalan untuk ke masjid yang perlu dibina dan disediakan oleh pihak masjid kepada golongan ini supaya mereka dapat melaksanakan dengan baik sebagaimana orang lain,” katanya pada Program Wacana Al-Quran Siri ke-84 bertajuk ‘Kesejahteraan Hidup OKU - Antara Impian dan Realiti' di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Wacana dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan misi MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah melalui Baca, Faham dan Amal.

Turut menjadi panelis ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Ras Adiba Mohd Radzi

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Abdul Khair Jalil memperdengarkan surah Al-Qasas ayat 77.

Mengulas lanjut, Dr Luqman berkata, golongan OKU (mukallaf) juga perlu dilibatkan dalam semua program-program membangunkan negara ini kerana ia juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka

“Ini adalah asas yang ada dalam Islam kepada golongan OKU, mereka adalah golongan yang sangat dihormati dan perlu diambil cakna serta diambil berat oleh golongan yang sempurna

“Maka timbullah hubungan antara yang sempurna dengan yang kurang sempurna dan mereka yang telah diberi nikmat kesempurnaan perlu membantu golongan yang tidak ada kesempurnaan,” katanya.

Tambah beliau, dalam merealisasikannya, inisiatif yang dilaksanakan di negara-negara barat wajar dicontohi

“Mungkin kita perlu ambil apa yang berlaku di dunia barat. Saya dapat melihat bagaimana mereka ini cakna dengan kebajikan orang-orang OKU.

“Bagaimana mereka menyediakan pengangkutan awam yang baik untuk golongan OKU, mereka menyediakan jalan yang baik, prasarana awam yang baik menjadikan OKU dapat berdikari dalam keadaan sistem yang baik,”katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!