Mayat reput ditemui di Pantai Kandis

Keadaan mayat yang ditemui di tepi Pantai Kandis di sini pada pagi Sabtu. - Foto ihsan pembaca
Keadaan mayat yang ditemui di tepi Pantai Kandis di sini pada pagi Sabtu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

BACHOK - [DIKEMASKINI] Mayat reput yang ditemui terdampar di pesisir Pantai Kuala Kandis di sini pada pagi Sabtu dipercayai sudah 10 hari meninggal dunia.

Mayat tanpa identiti itu ditemui sejauh 20 meter dari gigi air oleh orang awam yang kebetulan berjalan-jalan di sekitar lokasi tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Suprintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.17 pagi berhubung penemuan itu dan bergegas bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

“Setibanya di tepi pantai, satu mayat berseluar pendek berwarna hitam tanpa baju ditemui terdampar atas pasir. Tiada dokumen dijumpai bersamanya.

“Lelaki ini dipercayai sudah 10 hari meninggal dunia dan sudah reput tinggal tengkorak serta tulang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi tersebut pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan mayat yang sudah reput menyebabkan pihaknya tidak dapat menganggarkan umur lelaki terbabit.

“Setakat pemeriksaan ini, tidak menjumpai unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Siasatan bagaimanapun masih diteruskan dan mayat dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh ke balai berdekatan untuk menyalurkan maklumat.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memberitahu, dua mayat dari dua kes berasingan yang dijumpai di dua lokasi persisiran pantai di Bachok sebelum ini, juga belum dikenalpasti identiti.

“Belum ada apa-apa petunjuk dan siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti identiti-identiti mayat berkenaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!