UMNO masih relevan, jadi penyatu politik negara: Zaid
SHAH ALAM - UMNO merupakan sebuah parti yang masih relevan kepada perkembangan politik negara, kata bekas ahli politik, Datuk Zaid Ibrahim.
Beliau yang pernah menjadi ahli UMNO selama 23 tahun berkata, parti tersebut memiliki beberapa pemimpin yang baik dalam barisan kepimpinannya.
Menurutnya, meskipun terdapat kes pendakwaan di mahkamah yang melibatkan beberapa pemimpin tertinggi UMNO, ia tidak bermakna keseluruhan parti tersebut turut terlibat sama.
"Hanya kerana sebilangan pemimpin menghadapi pertuduhan tidak bererti seluruh parti tercemar dan hanya kerana pemimpin dari parti lain terlepas dari pendakwaan tidak bermaksud mereka bersih,” katanya dalam laporan portal Free Malaysia Today pada Sabtu.
Zaid berkata, beliau percaya UMNO memiliki peranan yang sangat besar dalam penyatuan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Katanya, kestabilan politik negara sukar dicapai sekiranya UMNO sebagai parti Melayu terbesar tidak mengambil peranan yang sewajarnya.
“UMNO seperti mana ia ditubuhkan, ia bukan sahaja untuk mendapatkan kemerdekaan atau memajukan orang Melayu dalam dunia moden, ia juga untuk menyatukan semua kaum.
“UMNO sepatutnya menjadi penyatu utama (great unifier), sesuatu yang hanya boleh dilaksanakan oleh parti berteraskan Melayu,” katanya yang pernah menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Bagaimanapun, Zaid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, UMNO perlu kembali memperbetulkan arah tuju parti tersebut sebagaimana yang pernah dilakukan pada tahun 1965 melalui buku berjudul ‘Revolusi Mental’.
“Mereka (UMNO) tidak lagi berpegang kepada bukunya sendiri yang ditulis pada 1965 iaitu Revolusi Mental.
“UMNO ketika itu menggesa Melayu untuk mendapatkan pendidikan, berfikir secara saintifik dan rasional dalam kelakuan dan pemikiran. Itu semua ciri-ciri yang perlu ada untuk berjaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!