'Selepas ini kami boleh tidur lena'
KAMPAR - "Syukur kami diberikan rumah yang selesa, selepas ini kami boleh tidur lena tanpa perlu risau rumah akan roboh," kata bapa dua anak, M Ramachandra, 39, yang mengalami kudung tangan kanan.
Rumah pusaka yang didiami keluarga itu di Kampung Mambang Diawan di sini menerima bantuan bina semula di bawah projek Rumah Impian oleh MyFundAction Cawangan Perak.
Ia bagi menggantikan kediaman asal berusia lebih 50 tahun yang tidak lagi selamat untuk didiami kerana sering mengalami masalah bocor, dinding berlubang dan kayu reput.
Ramachandra berkata, ada ketika apabila hujan lebat pada waktu malam, dia dan isteri, K Rangini, 35, terpaksa berjaga semalaman kerana bimbang akan keselamatan anak mereka masing-masing berusia sembilan dan lapan tahun.
"Rumah peninggalan mentua saya ini tiada bilik dan kami hanya tidur di ruang tamu sahaja.
"Jadi kalau hujan lebat, air masuk dalam rumah, saya dan isteri dan anak-anak akan duduk berjaga di atas kerusi sehingga keadaan reda.
"Begitu juga keadaannya kalau angin kuat, habis bergegar semua dinding, terasa seperti rumah mahu roboh," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Kerja-kerja meroboh rumah berkenaan telah dimulakan pada Sabtu dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kampar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ramachandra berkata, buat sementara waktu, mereka sekeluarga akan tinggal bersama keluarga mentua yang terletak kira-kira 500 meter dari kediaman itu.
"Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin, saya anggap ini rezeki anak-anak supaya mereka selesa untuk belajar," katanya.
Pegawai Operasi, MyFundAction Cawangan Perak, Wan Khadijah Wan Sulong berkata, rumah berkenaan akan dibina di tapak asal dengan peruntukan RM60,000 dan bakal dilengkapi dengan kemudahan dua bilik tidur, ruang tamu, dapur dan sebuah bilik air.
Katanya, usaha itu digerakkan atas penilaian kelayakan Ramachandra sebagai kurang upaya yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung anak-anak yang masih bersekolah.
"Kami dapati, penerima bantuan ini mempunyai semangat tinggi dalam menjaga keluarganya walaupun dalam keadaan kurang upaya.
"Selepas bantuan rumah, kita ada perancangan untuk bantu dari segi ekonomi pula seperti menyediakan motosikal roda tiga bagi memudahkannya berniaga," katanya.
Projek bina semula itu dijangka siap dalam tempoh sebulan dan pembinaannya dilakukan syarikat kontraktor yang dilantik.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Meor Mohd Ali Meor Hussien berkata, seramai tujuh anggota dibantu penduduk kampung melakukan kerja meroboh dan pembersihan di rumah itu yang mengambil masa hanya 30 minit.
"Apabila rumah ini siap nanti, kita juga akan bantu dari segi kerja-kerja mengecat, ini merupakan satu daripada tanggungjawab kita sebagai penjawat awam terhadap masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Mereka kata saya cacat, tak boleh kerja'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!