Ismail Sabri lapor polis penyebaran video fitnah tidak patuh SOP
KUALA LUMPUR - Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis pada Sabtu berhubung penyebaran video yang didakwa memfitnah beliau berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ismail Sabri berkata, dua video pendek yang tular di media sosial itu dilihat bukan sahaja cuba merosakkan nama beliau tetapi cuba menimbulkan keadaan huru-hara antara kaum.
"Video pendek pertama adalah ketika saya membuat sidang media harian berkaitan Covid-19 pada 14 Februari 2020.
"Video tersebut ditularkan kononnya ia adalah sidang media terbaru dan ia seakan bertujuan mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompaun akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan," katanya dalam kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Menteri Pertahanan, Azlina Md Rosdy ketika mewakili beliau membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Sabtu.
Tambah Ismail Sabri, video tersebut adalah video lama dan kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikkan dalam pelaksanaan SOP.
"Video kedua yang tular diberi tajuk 'sendiri buat SOP sendiri langgar' sebenarnya adalah rakaman di mana saya hadir dalam satu majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 16 September 2020.
"Video tersebut dengan sengaja disebarkan kononnya majlis itu adalah sambutan Tahun Baharu Cina. Ingin saya tegaskan bahawa majlis tersebut diadakan ketika dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pemulihan (PKPP)," kata beliau.
Tegas Ismail Sabri, tujuan laporan polis dibuat berhubung dua video itu adalah bagi menghentikan penularan fitnah.
"Implikasi daripada penyebaran video ini boleh menyebabkan timbulnya kemarahan rakyat sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat kepada saya.
"Penyebaran video ini ternyata berniat jahat kerana dikatakan video terbaru sewaktu PKP," kata beliau.
Sebelum ini tular di Facebook rakaman video Ismail Sabri hadir ke satu majlis dan bersalaman dengan tetamu yang hadir.
Video itu menunjukkan beliau bersama beberapa orang lain tanpa memakai pelitup muka duduk bersama di meja jamuan dengan tidak menjaga penjarakan sosial.
Difahamkan, video berkenaan merupakan majlis pelancaran Tabung Pahlawan di Royal Chulan di sini pada September tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri lapor polis berhubung video fitnah
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123642/BERITA/Semasa/Ismail-Sabri-lapor-polis-berhubung-video-fitnah
2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!