Kes curi: Kawalan keselamatan di PKRC diperketat

Mohd Redzuan (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kita makanan kepada Nor Azman dan diperhatikan Idris (dua dari kiri) ketika simbolik penyerahan program Kit Bantuan Makanan NADMA di Kompleks Japerun Sungai Udang pada Sabtu.
Mohd Redzuan (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan kita makanan kepada Nor Azman dan diperhatikan Idris (dua dari kiri) ketika simbolik penyerahan program Kit Bantuan Makanan NADMA di Kompleks Japerun Sungai Udang pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan akan memperketatkan kawalan keselamatan di setiap 391 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, langkah itu termasuk menambah bilangan anggota-anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) di pusat-pusat yang masih aktif bagi memastikan kejadian kecurian seperti yang dilaporkan sebelum ini tidak berulang.

Menurutnya, usaha itu sekali gus menjamin setiap pusat yang masih beroperasi dapat memberi fokus dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada pesakit Covid-19 tanpa terpalit dengan kes-kes negatif seperti itu.

"Bila pesakit dah ramai maka akan terjadi kes seperti itu, jadi apa yang kita boleh lakukan adalah dengan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan.

"Walaupun ini biasa, namun kita tidak boleh leka dan anggota di situ akan membuat kawalan dengan lebih kerap dan sebagainya," katanya.

Mohd Redzuan berkata demikian selepas menyempurnakan program penyampaian Kit Bantuan Makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi golongan terjejas dalam Parlimen Tangga Batu di Kompleks Japerun Sungai Udang di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Khamis lalu Polis menahan dua lelaki selepas disyaki mencuri empat unit telefon bimbit milik pesakit di PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, pegawai perubatan di salah satu daripada dewan di pusat kuarantin berkenaan terdengar berlaku kekecohan dalam kalangan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pesakit Covid-19 disyaki mencuri di pusat kuarantin

Dalam perkembangan lain, Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, berkata, kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang memperhalusi Program Sukarelawan Pemerkasaan Komuniti yang akan ditubuhkan bagi membendung penularan Covid-19 secara menyeluruh di negara ini.

Menurutnya, program yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bukan untuk mengambil alih peranan pihak berkuasa namun membantu kerajaan memantau segelintir masyarakat yang masih alpa dan kurang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sebenarnya dengan adanya anggota komuniti itu, mereka dapat memberi kefahaman secara lebih luas tentang normal baharu dan bahaya virus Covid-19 dan bukan bertujuan untuk menghukum," katanya.

Pada program terbabit sebanyak 1,000 bantuan kit makanan telah disumbangkan untuk disalurkan kepada golongan terkesan bagi mengurangkan bebanan mereka dalam tempoh (PKP) 2.0.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!