Mansuhkan syarat kemudahan i-Sinar bukan mainan politik

Gambar kecil: Mustafa Shah
Gambar kecil: Mustafa Shah
A
A
A

KUALA KANGSAR - Keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar bukti saranan UMNO itu bukan mainan politik semata-mata.

Exco Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, i-Sinar merupakan keperluan kepada pencarum yang kini berdepan dengan situasi sukar.

Menurutnya, syarat yang dikenakan sebelum ini jelas tidak adil dan menguntungkan kelompok tertentu sahaja.

"Perubahan syarat ini bukan saja membuktikan apa yang disarankan UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh dilakukan, tetapi juga membuktikan kerajaan mula gusar dengan suara rakyat yang sememangnya mahukan kebenaran pengeluaran akaun satu KWSP dibuat tanpa dikenakan sebarang syarat.

"Kerajaan perlu peka dengan permasalahan dan kehendak rakyat jika mahu terus kekal relevan di hati rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, membenarkan pengeluaran akaun satu KWSP tanpa syarat bagi memberi kelegaan kepada pencarum ketika berdepan situasi sukar pandemik Covid-19.

"Ada pemimpin kerajaan yang sebelum ini menghentam UMNO dan BN kerana memperjuangkan lanjutan moratorium dan pengeluaran akaun satu KWSP sebanyak RM10,000 mula mengambil kredit bahawa ini adalah hasil perjuangan mereka.

"Tidak mengapalah jika mereka ingin mengambil nama kerana apa yang UMNO dan BN perjuangkan adalah untuk kepentingan rakyat, bukannya mencari keuntungan politik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!