Tiga nelayan Myanmar ditahan ketika tangkap ikan
GEORGETOWN - Tiga nelayan warga Myanmar ditahan bersama sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 7.3 batu nautika tenggara Pulau Rimau, di sini pada Jumaat.
Ketiga-tiga nelayan berusia 24 hingga 33 tahun itu ditahan oleh sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang pada jam 6.30 petang.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negeri ini oleh pihaknya ketika rondaan rutin Ops Benteng Laut dan Ops Pertiwi.
"Pemeriksaan mendapati, bot nelayan milik warga tempatan dengan nombor pendaftaran yang sah itu dikendalikan tiga kru warga Myanmar etnik Rohingya termasuk tekongnya.
"Kesemua mereka memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang sah. Bagaimanapun, mereka tidak memiliki sebarang kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, bot dan ketiga-tiga nelayan tersebut dibawa ke Ibupejabat Maritim Pulau Pinang untuk proses ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Selepas ujian saringan, mereka akan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985 kerana melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan dengan vesel itu tidak usaha sendiri selain menggaji kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak tidak kurang RM500," katanya.
Beliau berkata, orang ramai atau persatuan nelayan diminta untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.
Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!