Rumah ibadat bukan Islam dibenar beroperasi semasa PKP

 Rumah ibadat bukan Islam kini dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Rumah ibadat bukan Islam kini dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
A
A
A

PUTRAJAYA - Rumah ibadat bukan Islam kini dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berkuat kuasa 12 hingga 18 Februari, kata Kementerian Perpaduan Negara.

Menurut kenyataan kementerian itu pada Sabtu, perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 Bilangan 14 Tahun 2021 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kementerian itu, pembukaan rumah ibadat bukan Islam tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) iaitu bilangan kehadiran penganut tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa serta perlu menjalankan kerja-kerja sanitasi di premis selama 30 minit sebelum dan selepas aktiviti keagamaan atau sembahyang.

Selain itu, premis juga perlu menggunakan aplikasi MySejahtera bagi tujuan rekod di kawasan yang mempunyai liputan Internet yang luas.

“Pengecualian imbasan kod MySejahtera yang hadir ke rumah ibadat bukan Islam diberikan kepada penganut yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai telefon pintar,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, bagi tokong Buddha, Tao, wat Siam dan gereja, jadual waktu sembahyang bermula jam 6 pagi hingga 2 petang.

Untuk kuil Hindu, sesi pertama dibuka bermula jam 6 hingga 10 pagi dan sesi kedua bermula jam 5 petang hingga 9 malam, manakala gurdwara bermula jam 6 hingga 9 pagi.

Kementerian itu menasihati semua penganut bukan Islam di seluruh negara mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh kuat kuasa berkenaan bagi memastikan tiada penularan wabak dalam kalangan penganut dan bersama-sama membudayakan normal baharu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!