Sedekah 500 pek laksa, niat untuk arwah Amir
RAWANG - Keluarga angkat kepada kanak-kanak yang maut dipercayai akibat didera, adik Amir memberi sedekah hampir 500 pek laksa kepada penduduk di sekitar taman perumahan di Taman Bukit Sentosa pada Sabtu.
Amir atau nama penuhnya Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7 ditemukan meninggal dunia dalam tong air dengan kesan cedera dan lebam dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian pada 29 Januari lalu di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya.
Ibu angkat Amir, Norlida Abu Hassan, 50 berkata, infaq secara pandu lalu yang dibuat di depan rumahnya bermula jam 2 petang itu dengan niat untuk arwah selain bacaan yasin dan tahlil.
"Kami terdetik sedekah laksa kerana Amir suka laksa dan paling arwah suka laksa telur sarang. Selain buat yasin dan tahlil, kami terfikir untuk buat infaq sekali. Dalam 500 pek kita sedekahkan kepada penduduk setempat, " katanya pada siaran langsung di sebuah portal pada Sabtu.
Menurutnya, ia juga sebagai permulaan untuk memulakan perniagaan laksa yang diusahakannya selepas terhenti sebelum ini kerana kes Amir.
"Ramai yang tanya bila nak mula semula jual laksa. Jadi saya bincang dengan anak-anak untuk infaq dulu kemudian baru mulakan meniaga dalam minggu ini, Insya-ALLAH," katanya yang hampir setahun berniaga di depan rumah.
Dalam perkembangan sama katanya, kisah Amir yang tersebar luas banyak membuka mata masyarakat mengenai mesej kasih sayang.
"Setakat ini saya belum terima mesej negatif sebaliknya banyak yang kata kisah Amir dan keluarga angkat ini beri inspirasi untuk sebarkan kasih sayang dan ia sampai ke hati mereka.
"Walaupun saya bukan ibu kandung tapi kasih sayang diberikan kepadanya sejak usianya dua bulan. Kasih sayang itu utuh dan tak mungkin boleh dilupakan," katanya.
Pada Rabu lalu, ibu kandung Amir, Zuraida Atan, 32 dan bapa tirinya, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38 didakwa di dua mahkamah berasingan di Ayer Keroh.
ARTIKEL BERKAITAN Mulianya Hatimu Amir, 'Adik Nak Duduk Dengan Dua-Dua Mak'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!