Urus hal ehwal agama sendiri
TIAP-TIAP kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri. Itu peruntukan yang sudah termeterai di bawah Perkara 11(3)(a) Perlembagaan Persekutuan yang terjamin dan tidak boleh diganggu-gugat.
Sayang sekali, peruntukan yang sedia ada ini tidak digunakan sebaik mungkin sehingga merugikan agama itu sendiri khususnya agama Islam.
Hakikatnya pada masa sekarang orang Islam tidak secara eksklusif boleh mentadbir agama mereka sendiri apabila Jemaah Menteri bukan Islam, ahli Parlimen bukan Islam, ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat turut mengambil bahagian dalam perbahasan menyentuh kemurnian Islam fiqh dan juga ajaran yang sangat mendasar.
Malah kini terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang bukan Islam turut mempertikai Undang-Undang Islam yang dibentangkan.
Penulis berpandangan mekanisme membuat undang-undang ini dinilai kembali penggubalannya kerana kerangka yang ada sekarang ini sudah tidak sesuai lagi untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam.
Sebelum proklamasi darurat semua undang-undang Persekutuan yang digubal dibincangkan oleh Jemaah Menteri dan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum perkenan diberikan untuk dijadikan undang-undang yang berkuat kuasa.
Seharusnya rang undang-undang khusus tentang agama Islam yang didraf oleh pakar perundangan Islam dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk format gubalan sahaja.
Setelah itu ia perlu dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan kemudiannya kepada Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
Seterusnya ia akan hanya dipanjangkan kepada Jemaah Menteri untuk disahkan tanpa perlu dibahaskan kerana ia sudah diberi perkenan. Begitu juga apabila dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua tidak perlu kerana ia telah mendapat perkenan.
Perbezaannya adalah perkenan Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong ini diperoleh terlebih dahulu sebelum perkara ini dibawa ke Jemaah Menteri dan Parlimen. Ia bertujuan mengelakkan perbahasan tentang Rang Undang-Undang Islam oleh orang bukan Islam termasuklah oleh orang Islam yang tidak mempunyai keilmuan dalam hukum syarak.
Pencabulan
Bukan niat menidakkan peranan ahli politik bukan Islam namun apa kewajarannya bagi mereka untuk mencampuri urusan agama dan undang-undang dan fatwa umpamanya.
Perkara ini penting kerana pada masa ini sudah berlaku pencabulan terhadap kemuliaan institusi dan perundangan Islam.
Secara dasarnya penulis tidak mengatakan atau mengehadkan campur tangan golongan tertentu terhadap agama Islam semata-mata tetapi ia secara menyeluruh. Dengan kata lain, penulis juga tidak mahu pihak tertentu turut mencampuri urusan agama lain misalnya Kristian, Buddha dan Hindu kerana tidak mengetahui hal agama tersebut selain perlu menghormati fahaman agama mereka.
Tetapi perkara sebaliknya berlaku kerana apabila perbahasan yang melanggar hukum syarak seperti yang berlaku terhadap Undang-Undang Keluarga Islam yang berlangsung di Parlimen beberapa tahun lalu, ahli Dewan Negara yang bukan Islam turut serta dalam perbahasan dengan melabelkan undang-undang Islam zalim dan menindas wanita.
Ini perkara yang tidak seharusnya terjadi kerana Perkara 11(3) menyatakan Islam itu ditadbir oleh golongan daripada agama itu sendiri dan yang lain tidak boleh masuk campur.
Oleh itu untuk mengelak perkara ini berlaku, penulis mencadangkan supaya rang undang-undang terus mendapat perkenan daripada Tuanku kemudian baru disahkan oleh Jemaah Menteri dan juga Parlimen tanpa perlu dibahas memandangkan ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Agama.
Jika dilihat Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, mengenai sumpah Yang di-Pertuan Agong yang berikrar mengaku taat setia menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri serta pada setiap masa akan memelihara agama Islam.
Sumpah ini bukan untuk dekorasi tetapi ada kesan dan mesejnya.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!