Ekonomi kecut tahun lalu
KHAMIS lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia umumkan statistik utama ekonomi bagi tahun 2020 yang antara lain menunjukkan ekonomi negara kecut 5.6 peratus.
Dalam keadaan biasa, ekonomi sepatutnya berkembang tetapi akibat langkah-langkah mengawal penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu, ekonomi kita bukan sahaja tidak berkembang, malah menguncup.
Dalam sejarah negara kita, inilah pencapaian ekonomi tahunan kedua paling buruk selepas penguncupan 7.4 peratus yang dideritai pada tahun 1998 akibat krisis mata wang Asia.
Jadi tidak hairanlah kalau sejak Mac atau April lalu, rakyat jelata, khususnya golongan berpendapatan rendah yang makan gaji dengan sektor swasta atau berniaga kecil-kecilan, mula merasa kesempitan hidup. Beban dan masalah ekonomi adalah benar dan nyata.
Misalnya, kadar pengangguran telah melonjak naik dengan pantas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
Menjelang Mei, seramai 826,100 orang atau 5.3 peratus tenaga kerja dilaporkan menganggur. Bilangan itu telah turun kepada 772,900 pada Disember.
Dengan kadar pengangguran yang masih tinggi dan menyeluruh itu, tidak hairanlah kalau ramai jatuh miskin walaupun mendapat bantuan dan kelonggaran kewangan daripada kerajaan.
Sebab itulah kita wajib rasional dalam menangani wabak ini jika kita tidak mahu berlaku keadaan di mana kita berjaya mengawal penularannya tetapi rakyat jelata kebuluran akibat kebekuan ekonomi.
Dalam konteks ini, kerajaan perlu memikirkan satu bentuk galakan baru untuk semua sektor ekonomi khususnya pengilangan dan pelancongan supaya majikan memikul lebih banyak tanggungjawab ke atas pekerja mereka.
Kita tahu yang majikan swasta mahu memulihkan operasi mereka tetapi pada masa yang sama, kita tahu bahawa tempat kerja adalah punca utama jangkitan.
Kerajaan boleh membantu dengan memberi galakan kewangan dan fiskal bagi membolehkan mereka memperbaiki kemudahan penginapan dan kesihatan di kilang, ladang dan tapak pembinaan.
Galakan tambahan yang berbentuk umum dan yang khusus untuk Covid-19 ini akan membantu mengekalkan pelabur sedia ada sambil cuba menarik pelabur baru.
Insentif lebih baik ini mungkin boleh membantu mengatasi defisit keyakinan yang sedang kita deritai akibat kegawatan politik berikutan rampasan kuasa luar Parlimen setahun lalu.
Apa guna kita mempunyai ramai menteri dan timbalan menteri yang kononnya menjaga hal ehwal ekonomi, kewangan, guna tenaga, perindustrian dan kesejahteraan masyarakat kalau cabaran ekonomi belum berjaya ditangani?
Apatah lagi dalam keadaan di mana kerajaan telah mengisytiharkan darurat dengan alasan menangani Covid-19 walaupun tingkah laku sesetengah anggota kerajaan memberi gambaran negatif kepada perintah itu.
Berbalik kepada prestasi ekonomi tahun lalu, Jabatan Perangkaan menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menderita penyusutan yang teruk akibat PKP dan penutupan sempadan di peringkat global.
Dalam bahasa yang mudah, penguncupan 5.6 peratus itu bermakna ekonomi kita tahun lalu menjadi lebih kecil daripada tahun 2019. Kalau pada tahun 2019 nilai ekonomi kita RM100, pada tahun 2020 nilainya tinggal RM94.40 saja.
Prestasi negatif ekonomi pada tahun 2020 adalah lebih buruk daripada yang diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), iaitu antara -3.5 peratus dan -5.5 peratus.
Kesimpulannya, penguncupan ekonomi tahun lalu memang dijangkakan kerana sebahagian faktor yang menyebabkannya terjadi begitu dicetuskan oleh kerajaan sendiri sebagai tindak balas kepada Covid-19.
Isu yang akan terus menghukum kita adalah ketidaktentuan politik.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!