'Ini bukan Liverpool yang sebenar'
TONGGAK pertahanan Liverpool, Andrew Robertson mengakui persembahan The Reds pada ketika ini tidak berada pada tahap terbaik susulan kekalahan 1-3 kepada Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power pada Sabtu.
Menurutnya, kekalahan tersebut membuktikan pasukan itu sedang dilanda persembahan kurang memuaskan dan percaya sesuatu perlu dilakukan untuk kembali kepada prestasi sebenar.
"Kekalahan ini bagaikan satu tamparan kepada kami. Dalam perlawanan tersebut kami menguasai permainan dan dalam beberapa minit kemudian kami kehilangan punca dan itu bukan kami yang sebenar.
"Kami ketinggalan 1-2 dengan 15 minit lagi ketinggalan. Namun, kami bermain dengan corak menyerang dan ketika menentang sebuah pasukan hebat seperti Leicester, kami akan dihukum.
"Kami bermain dengan semangat dalam hampir keseluruhan perlawanan tersebut. Kemudian, saya tidak tahu apa yang terjadi dalam 10 hingga 15 minit terakhir. Ia tidak boleh berlaku dalam perlawanan seperti ini," katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Mohamed Salah terlebih dahulu membuka tirai jaringan sebelum The Foxes membalas dengan tiga gol menerusi James Maddison, Jamie Vardy, dan Harvey Barnes.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool tewas tiga kali berturut-turut dalam saingan EPL buat pertama kali sejak November 2014 dan berdepan cabaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!