Ramai individu kerja sendiri di Terengganu belum mencarum Perkeso

Farihah (tengah) memberi penerangan mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso kepada pekerja khidmat penghantaran yang melakukan pendaftaran di Wisma Perkeso pada Ahad.
-- fotoBERNAMA
Farihah (tengah) memberi penerangan mengenai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso kepada pekerja khidmat penghantaran yang melakukan pendaftaran di Wisma Perkeso pada Ahad. -- fotoBERNAMA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kesedaran mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dalam kalangan individu yang bekerja sendiri di Terengganu masih di tahap sederhana.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, setakat tahun lepas, hanya 3,924 individu bekerja sendiri dari pelbagai sektor telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso dan pihaknya menganggarkan terdapat kira-kira 25,000 individu yang bekerja sendiri di negeri itu.

“Apatah lagi dengan penularan pandemik Covid-19, ramai yang diberhentikan kerja dan terpaksa bekerja sendiri seperti menjadi penghantar makanan.

“Jadi kita harap mereka segera mencarum supaya mempunyai perlindungan sekiranya terjadi sebarang kejadian tidak diingini semasa mereka bekerja,” katanya kepada pemberita pada Program Pendaftaran Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung kepada pekerja perkhidmatan penghantaran berkonsepkan pandu lalu di Wisma Perkeso di sini pada Ahad.

Beliau berkata, sebagai contoh, dianggarkan terdapat kira-kira 6,000 nelayan di Terengganu dan masih ramai dalam kalangan mereka yang belum mencarum.

Katanya, Perkeso kini mempergiat aktiviti menggalakkan individu yang bekerja sendiri mencarum di bawah SKSPS dengan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan menyasarkan 6,000 orang daripada golongan itu di Terengganu berbuat demikian pada tahun ini.

Farihah berkata, program pendaftaran SPS Lindung secara pandu lalu itu adalah untuk memberi peluang kepada pekerja sektor khidmat penghantaran sama ada yang menggunakan motosikal, basikal atau berjalan kaki mendapatkan perlindungan secara percuma.

Beliau berkata, di bawah program itu, kerajaan menyediakan caruman penuh untuk pekerja khidmat penghantaran selama setahun menerusi Pelan 2 SKSPS sebagai perlindungan terhadap bencana pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Dianggarkan terdapat lebih 1,000 pekerja khidmat penghantaran termasuk pembeli-belah peribadi di negeri ini.

“Pada program hari ini (Ahad), dijangka lebih 400 pekerja yang mendaftar. Kita harapkan lebih ramai lagi yang akan mendaftar dengan pendaftaran dibuka bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini dan ia terbuka sama ada kepada mereka yang bekerja sendiri atau menggunakan platform aplikasi pembekal (seperti Foodpanda),” katanya.

Farihah berkata, antara faedah yang akan diterima ialah kemudahan perubatan percuma di mana-mana kilnik panel Perkeso atau hospital kerajaan, faedah Hilang Upaya Sementara dengan bayaran sebanyak RM41.33 sehari iaitu 80 peratus daripada pendapatan bulanan yang diinsurans mengikut pelan caruman.

Sementara itu, seorang penghantar makanan Khasfi Rosli, 21, berkata, beliau mempunyai kesedaran untuk mendaftar SPS Lindung setelah ditimpa kemalangan pada Jumaat lepas di Jalan Budiman di sini ketika dalam perjalanan mengambil makanan untuk dihantar kepada pelanggan yang menyebabkan tulang belakangnya patah.

“Saya baru sahaja menjadi penghantar makanan kira-kira sebulan yang lepas namun kini tidak dapat bekerja pula.

“Sejak kemalangan itu, saya baru terfikir betapa pentingnya kami dalam kalangan penghantar makanan mempunyai caruman dengan Perkeso apatah lagi di bawah SPS Lindung yang menawarkan caruman secara percuma,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!