Bukan masa berbalah soal kerusi: Ahmad Faizal
IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengingatkan semua pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak terus berbalah dalam soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebaliknya pemimpin di dalam kerajaan digesa supaya memberi tumpuan ke arah mencari jalan untuk memperkukuhkan kedudukan kerajaan dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh krisis Covid-19 yang melanda negara ketika ini.
Menurutnya, mereka harus sensitif terhadap perasaan rakan-rakan dengan tidak mengeluarkan kenyataan merugikan dan mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan perpecahan.
"Paling penting bagi para pemimpin ialah menjaga sensitiviti antara satu sama lain. Ahli-ahli dan orang Melayu secara keseluruhannya begitu runsing dengan perbalahan politik. Mereka mahu melihat semua pemimpin hentikan perbalahan politik dan fokus kepada tanggungjawab untuk memberi khidmat bakti kepada rakyat.
"Insya-ALLAH, pemimpin UMNO dan Bersatu akan faham, dengan berbalah kedua-kedua parti akan mendapat kerugian. Setelah masing-masing faham akan perkara itu, hubungan antara kedua parti akan menjadi bertambah baik. Ini akan menguntungkan orang Melayu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mengenai hubungan UMNO, Pas dan Bersatu, Ahmad Faizal menjelaskan hubungan antara ketiga-tiga parti adalah baik walaupun terdapat percanggahan pendapat terhadap beberapa isu.
Malah katanya, rakyat khususnya orang Melayu menyukai perdamaian dan amat gembira dengan penyatuan ketiga-tiga parti itu di dalam kerajaan PN.
Beliau turut mengingatkan agar pemimpin-pemimpin parti di dalam kerajaan memahami bahawa tugas seseorang pemimpin itu seumpama seorang guru yang mendidik anak-anak.
Katanya, mereka perlu mengajak anak-anak melakukan kebaikan dan tidak mengajak anak-anak supaya bersifat mementingkan diri sendiri, angkuh ataupun melakukan perbuatan negatif yang lain.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Ahmad Faizal berkata, setiap parti akan cuba mendapatkan seberapa banyak kerusi untuk ditandingi, tetapi mereka mestilah realistik kerana jika jumlah kerusi ditandingi tidak mampu dimenangi ia tidak membawa manfaat kepada parti-parti berkenaan.
Menurutnya, disebabkan itu, setiap parti perlu benar-benar faham keperluan untuk bertolak ansur dalam pembahagian kerusi kerana sebarang perbalahan hanya akan menguntungkan pihak lawan.
"Bersatu sedang gigih mempersiapkan jentera pilihan raya di setiap kawasan. Semua bahagian telah menyiapkan struktur jentera pilihan raya dan dalam keadaan bersiap sedia. Apabila diarah untuk mengambil bahagian, seluruh jentera boleh digerakkan pada bila-bila masa.
"Kami sedia bertanding di kawasan-kawasan yang dimenangi PH atau mana-mana kawasan setelah perbincangan pembahagian kerusi dimuktamadkan," katanya yang juga Pengerusi Bersatu Perak.
Beliau berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi di antara parti di dalam kerajaan PN pernah diadakan tetapi sebarang keputusan masih belum dimuktamadkan.
Pada Ahad, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad memberi kata dua kepada Bersatu supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU14.
Malah menurut Menteri Besar Perak itu lagi, UMNO Perak tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi parti itu sebelum ini kekal ditandingi UMNO pada PRU15 akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Bersatu jangan ganggu tempat UMNO, Pas’
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!