Transformasi CCTV di lokap elak integriti polis tercemar
SHAH ALAM - Transformasi kamera litar tertutup (CCTV) perlu dilakukan di lokap seluruh negara bagi memastikan ketelusan dan integriti anggota polis.
Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kejadian kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di lokap Balai Polis Miri, Sarawak pada 16 Januari lalu disebabkan CCTV yang digunakan hanya boleh untuk memantau sahaja.
Beliau berkata, kejadian itu tidak tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja walaupun beberapa pendakwaan sudah dilakukan.
"Kejadian hitam yang berlaku ini tidak seharusnya didiamkan begitu sahaja walaupun anggota polis yang bertugas ketika itu sudah digantung tugas serta-merta.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam negeri (KDN) perlu memberi perkembangan terkini berkaitan kelengkapan CCTV di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk merakam dan memantau tahanan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Zuraida berkata, kejadian rogol tersebut adalah luar biasa kerana berlaku di sebuah balai polis yang baginya merupakan satu premis untuk menjunjung dan menegakkan undang-undang negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan Persekutuan menerusi peruntukan yang ada untuk meningkatkan hukuman kepada pesalah sebagai langkah pencegahan supaya masyarakat tidak melakukannya lagi.
Tambah beliau, kes tersebut telah mencemarkan institusi dan adicita pasukan polis.
Pada 18 Januari lalu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kejadian rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri itu berlaku berdasarkan percakapan saksi.
Katanya, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut memandangkan CCTV di lokap berkenaan hanya berfungsi untuk pemantauan, bukan untuk merakam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!