Pengarah disyaki cabul kakitangan bebas dengan jaminan polis
SHAH ALAM - Seorang pengarah agensi kerajaan di Selangor yang ditahan pada Sabtu bagi membantu siasatan kerana disyaki mencabul kakitangannya telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek berusia 35 tahun itu dibebaskan selepas pegawai penyiasat selesai melakukan siasatan.
“Laporan polis dibuat oleh mangsa pada 12 Februari lepas pada kira-kira jam 10.30 pagi dan suspek ditahan semalam (Sabtu), hari ini (Ahad) dia diberi jaminan polis setelah selesai tindakan oleh pegawai penyiasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
“Polis kini sedang menyiapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan suspek ditahan polis selepas dipanggil bagi membantu siasatan berhubung laporan polis berkenaan di Balai Polis Daerah Klang Selatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!