Permor agih makanan kepada penuntut

Permor bantu agih makanan dan wang saku kepada pelajar UPSI yang dikuarantinkan di Kolej Kediaman Za’aba
Permor bantu agih makanan dan wang saku kepada pelajar UPSI yang dikuarantinkan di Kolej Kediaman Za’aba
A
A
A

TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengagihkan 50 bungkusan makanan kering dan duit saku kepada penuntut Pendidikan Moral yang dikuarantin di Kolej Kediaman Za’aba di sini.

Penasihat Persatuan Pendidikan Moral (Permor) UPSI, Dr Abu Zarrin Selamat berkata, pengagihan itu dilakukan selepas menerima aduan daripada mereka yang sukar keluar dari kampus bagi membeli barangan keperluan harian.

Menurutnya, penuntut yang dikuarantin sejak Januari lalu adalah penuntut semester satu dari pelbagai negeri tetapi majoriti membabitkan Sabah dan Sarawak.

"Sumbangan barang keperluan tersebut seperti mi segera, biskut, paket minuman, gula, susu, roti, kordial dan makanan ringan dianggarkan bernilai RM44 setiap bungkus.

"Wang berkenaan hasil sumbangan pensyarah Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter UPSI dan Yayasan Peramah yang berpejabat di Gombak berjumlah RM3650," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Hadir sama ketika pengagihan ialah wakil Yayasan Peramah, Dr Sakinah Salleh dan Dr Alwi Mohd Yunus.

Abu Zarrin berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk menyantuni penuntut dan memberi sokongan kepada mereka.

“Keadaan yang tidak menentu dalam mengharungi keadaan pandemik ini menyukarkan mereka khususnya yang terkandas di kolej kediaman untuk mendapatkan bekalan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Ketika mereka terpaksa berhempas pulas menyiapkan pentaksiran akhir yang sedang berlangsung, ditambah kepayahan mendapatkan bekalan makanan menyebabkan ramai yang tertekan," katanya.

Katanya, walaupun sumbangan yang dihulurkan itu sedikit tetapi diharap dapat meredakan tekanan yang dihadapi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!