Anggota polis maut kemalangan baru kahwin sebulan
KLUANG - Anggota polis yang maut dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki mabuk di Kilometer 6 Jalan Kluang-Teck Wah Hing di sini pada malam Jumaat baru sahaja berkahwin kira-kira sebulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagaimanapun mendiang Lans Koperal Bradford Bernard, 29, ketika ini berada di tempat asalnya, Penampang, Sabah.
Menurtnya, mayat mendiang akan dihantar pulang ke Kota Kinabalu, Sabah pada pagi esok menggunakan pesawat syarikat swasta sebelum diuruskan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu dan Ketua Polis Daerah Penampang.
"Ini merupakan kes kedua polis maut dilanggar dan kejadian pertama pada Oktober lalu.
"Kita amat bersimpati dengan mendiang Bradford dan berharap hukuman maksimum akan dikenakan terhadap suspek supaya menjadi pengajaran kepada semua," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Dewan Terbuka Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini pada Ahad.
Ketika kejadian pada jam 10.30 malam itu, Bradford baru selesai tugasan di Penjara Simpang Renggam dan menunggang motosikal ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
Pemandu kereta itu hilang kawalan dan merempuh motosikal Bradford mengakibatkan anggota polis itu cedera parah dan meninggal dunia di lokasi.
Ayob Khan berkata, anggota polis itu sudah bertugas di daerah ini kira-kira empat tahun sejak 2017.
"Suspek sudah ditahan dan hasil saringan ujian nafas mendapati positif alkohol. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000 atau lesen memandu digantung 10 tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!