'Pernah melutut, merayu agar suspek pulangkan Siti Masitah'
PEKAN - Ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang ditemui mati kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Tanjung Medang Kemahang di sini semalam, pernah melutut dan merayu kepada suspek supaya memulangkan semula anaknya yang hilang.
Tindakan tersebut dilakukan oleh ibu mangsa, Solihah Abdullah pada malam suspek ditahan oleh penduduk kampung pada 30 Januari lalu yang telah diceritakan semula ibu saudara mangsa, Norasiah Abdul Manan, 33,
Norasiah berkata, ibunya terlalu menyayangi anaknya sehingga sanggup melutut di hadapan suspek yang dikenali sebagai Assum itu untuk memberitahu di mana Siti Masitah, memandangkan ramai penduduk melihat dia merupakan individu terakhir bersama kanak-kanak itu.
Menurutnya, suspek merupakan individu yang sangat rapat dengan keluarga mangsa yang sering datang dan berjumpa dengan mereka walaupun telah berpindah dari Kampung Kemahang sejak dua tahun lalu.
"Sambil menangis Kak Long merayu-rayu dengan Assum supaya pulangkan semula Masitah dia terus menerus berlutut kepada suspek, namun suspek mengatakan dia tidak tahu.
"Kami sememangnya mengenali suspek kerana dia pernah tinggal di kawasan kejiranan ini dan jika dia selalu datang ke kampung ini dan sebab itu orang kampung tidak mengesyaki apa apa pada mulanya," katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Kemahang, di sini, hari ini.
Difahamkan suspek yang berusia 23 tahun itu adalah individu terakhir yang dilihat membawa mangsa menaiki motosikal pada hari dia dilaporkan hilang.
Dalam kejadian jam 5 petang Sabtu lalu, mayat Siti Masitah ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan tangannya diikat ke belakang dan tidak berseluar di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, di sini.
Norasiah berkata, dia pelik bagaimana Siti Masitah boleh mengikut suspek sedangkan anak ketiga dari empat beradik itu bukan seorang mudah rapat dengan orang selain keluarganya.
"Ibu saya sendiri merupakan nenek saudaranya (nenek Siti Masitah) pun dia tak mahu ikut sebab dia hanya rapat dan mesra dengan ibu dan keluarganya.
"Walaupun suspek biasa datang dan bermalam di rumah mangsa namun Masitah tidak begitu rapat dengannya, sebab itu saya pelik bagaimana dia (Siti Masitah) boleh mengikuti lelaki itu.
"Setahu saya sebelum kehilangannya Masitah memberitahu ibunya mahu ke kedai runcit untuk membeli mi segera, jarak kedai runcit itu hanya kira-kira 200 meter dari rumahnya..saya tidak tahu di mana Masitah berjumpa lelaki itu," katanya.
Norasiah berkata, keluarga mangsa melayan suspek dengan baik dan sering memberinya makan apabila datang ke rumah mereka di Kampung Kemahang, Tanjung Medang.
“Kak Long selalu sangat melayan Assum dengan baik setiap kali Assum berkunjung ke rumah, dan tak sangka kalau dia sanggup bertindak kejam.
“Kejadian ini sangat menyedihkan dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk Siti Masitah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!