300kg ayam beku, 30 karton rokok dirampas
SEMPORNA - Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya mematahkan dua kegiatan penyeludupan membabitkan 300 kilogram (kg) ayam sejuk beku dan 30 karton rokok dalam dua operasi berasingan sekitar pulau di daerah ini pada Ahad.
Kedua-dua rampasan dilakukan pada jam 1.30 pagi dan jam 1.55 pagi selepas mengesan satu kegiatan menyeludup keluar daging ayam sejuk beku tanpa permit di sekitar Pulau Bohey Dulang.
Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, pemeriksaan mendapati terdapat 20 kotak mengandungi daging ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM2,700 dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran menggunakan bot enjin di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam operasi itu.
"Hasil pemeriksaan, semua daging ayam tiada permit eksport yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, Norrimi berkata, kes kedua membabitkan cubaan menyeludup masuk sebanyak 6,000 batang rokok di Pulau Gaya Dulang dianggarkan bernilai RM1,950 yang dibawa masuk menggunakan bot pam yang tiada nombor pendaftaran.
"Rokok itu dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!