Tikus sebesar kucing berkeliaran
TELUK INTAN - Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah peniaga medan selera berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Thiruvalluvar mengutamakan kebersihan menyebabkan tikus membiak di kawasan sekolah berkenaan.
Malah sikap penduduk yang turut membuang sampah di luar tong sampah yang ditempatkan di luar pagar hujung sekolah berkenaan menyebabkan wujudnya berpuluh-puluh ekor tikus sebesar kucing di kawasan tersebut.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Thiruvalluvar, J Thavakumar berkata semenjak Medan Selera Glutton Square itu dibuka kira-kira 20 tahun dahulu, masalah tikus semakin menjadi-jadi.
“Walaupun pengusaha gerai makanan itu telah menutup bahagian belakang kedainya dengan atap zink, masalah tikus tetap tidak dapat ditangani ekoran keadaan kedai yang kotor.
"Kami khuatir walaupun pihak sekolah mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan kawasan bebas dari ancaman tikus, ia tetap akan mengancam kebersihan dan kesihatan pelajar kerana sekolah itu mempunyai kantin," katanya selepas menerima kunjungan Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan, di sekolah berkenaan, hari ini.
Tambahnya, pihaknya merasa sedikit lega dengan perjumpaan yang diadakan bersama Sivanesan dan jabatan serta agensi kerajaan lain dalam membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
“Perjumpaan dengan exco hari ini memberikan kami sedikit kelegaan kerana sudah ada tindakan yang diambil berbanding sebelum ini,” katanya.
Bagi Guru Besar SJKT Thiruvalluvar, V Sarasvathi, pihaknya terpaksa membelanjakan sejumlah wang untuk membeli perangkap tikus bagi menangai masalah haiwan perosak itu yang menakutkan warga sekolah.
“Tikus-tikus sebesar kucing ini datang dari Medan Selera Glutton Square ekoran terdapat sisa sampah yang tidak dibuang dengan betul lalu memasuki kawasan sekolah dan membuat lubang.
"Lebih menakutkan apabila hujan, air memasuki lubang mereka tinggal tikus-tikus ini akan keluar dan berkeliaran hingga membimbangkan pihak sekolah dan kami terpaksa membeli perangkap tikus selain racun tikus untuk membunuhnya," katanya.
Menurutnya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak juga sudah mengambil maklum perkara berkenaan dan melakukan pemeriksaan selain memberi racun tikus kepada pihak sekolah.
"Lebih banyak tikus berjaya dibunuh dengan racun dan setiap pagi ada sahaja bangkai tikus bergelimpangan di tepi longkang luar pagar sekolah mahupun bahagian belakang dan kami akan membersihkannya," katanya.
Sementara itu, Sivanesan berkata, pihaknya sudah mengambil maklum masalah berkenaan selepas ia dilaporkan akhbar tamil dan televisyen tempatan minggu lalu.
"Saya percaya masalah haiwan perosak ini datangnya dari persekitaran tidak bersih berhampiran sekolah yang terdapat medan selera dan dipercayai peniaga tidak mengamalkan kebersihan selain sampah dibuang di luar tong sampah berhampiran sekolah.
"PKD Hilir Perak bersama Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) akan mengambil tindakan segera membendung masalah ini selain dicadangkan gotong-royong diadakan di sekitar kawasan ini bagi memastikan kebersihan terkawal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!