Gong Xi Fa Cai dalam PKP

A
A
A

TAHUN Baharu Cina merupakan sambutan kebudayaan seluruh kaum Cina, tidak kira sama ada mereka beragama Buddha, Tao, Kristian, Islam atau apa agama sekali pun termasuk yang ateis.

Sebagaimana sambutan kebanyakan perayaan di negara kita, Tahun Baharu Cina juga menitikberatkan amalan kunjung-mengunjung serta makan besar beramai-ramai bagi menguatkan ikatan kekeluargaan.

Namun, sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini agak suram kerana perlu mengikuti SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan amalan norma baharu akibat peningkatan jangkitan Covid-19 yang mencecah ribuan kes sehari dan telah meragut ratusan nyawa di Malaysia.

Sambutan pada tahun ini juga agak tenang tanpa pertunjukan bunga api serta dentuman gendang yang biasanya mengiringi tarian singa. Pemberian angpau oleh golongan yang sudah berumah tangga kepada golongan bujang dan kanak-kanak juga tanpa perlu menggunakan sampul merah. Sekarang ia boleh dilakukan menerusi mana-mana aplikasi e-Wallet atau pindahan wang dalam talian bagi memberikan e-angpau.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan acara makan besar keluarga pada malam Tahun Baharu Cina dengan tidak melebihi 15 anggota keluarga terdekat, yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer radius, tanpa rentas daerah dan negeri.

Pengumuman ini melegakan hampir kesemua masyarakat Cina yang mengharapkan tradisi ini dapat diteruskan di tengah-tengah musim pandemik dan PKP 2.0 kini.

Sebelum ini, penetapan MKN yang hanya membenarkan anggota keluarga dalam satu rumah mengadakan makan besar menggusarkan ramai pihak, terutama mereka yang tinggal berasingan dengan anggota keluarga lain walaupun dalam daerah yang sama.

Secara peribadi, saya dan keluarga juga tidak dapat bersama ahli keluarga lain tahun ini kerana walaupun rumah kami dekat, mereka berada di daerah Tumpat manakala kami di daerah Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

Kita harus ingat, ada anggota keluarga kita yang tergolong dalam golongan berisiko tinggi yang lebih rentan jangkitan Covid-19 seperti warga emas, ibu mengandung, pesakit kronik dan kanak-kanak.

Apabila sudah berkumpul dan berjumpa beramai-ramai, penyebaran virus ini menjadi lebih mudah akibat leka.Itulah sebabnya mengapa kerajaan menekankan slogan #kitajagakita, iaitu apabila kita sendiri menjaga SOP dengan memakai pelitup muka, menjaga kebersihan diri, tidak berjabat tangan dan bersentuhan, ia akan menurunkan risiko untuk menjangkiti atau dijangkiti Covid-19.

Kita mudah lalai dan lupa akan SOP apabila bersama dengan keluarga dekat.

Walaupun diberi kelonggaran untuk menyambut Tahun Baharu Cina, janganlah leka dan mengabaikan SOP akibat terlalu teruja dan berasa begitu gembira menyambutnya dengan orang yang disayangi.

Jika benar anda sayang keluarga anda, patuhilah SOP tidak kira masa dan di mana jua anda berada.

Jika semua orang dapat mengikuti SOP dengan baik, keadaan pandemik ini boleh bertambah baik dengan izin ALLAH SWT dan kehidupan kita juga boleh kembali seperti sediakala tanpa perlu terkongkong dengan SOP.

Masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina atau Xin Nian Kuai Le kepada semua yang merayakannya.

Juga, Gong Xi Fa Cai atau Kiong Hee Huat Chai dalam dialek Hokkien yang bermaksud semoga berbahagia dan bertambah makmur/kaya.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!