Gesaan Saarani tak kena waktu

Razali
Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Gesaan UMNO Perak agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak bertanding di kerusi disandang UMNO di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak kena pada waktunya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan berhubung agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum itu.

Menurutnya, Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi UMNO negeri itu, Datuk Saarani Mohamad perlu menyerahkan kepada pimpinan UMNO Pusat untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, Razali berpandangan, Saarani membuat ketetapan terlalu awal sekali gus mendahului keputusan pucuk pimpinan parti.

“Saya rasa (masanya) tidak sesuai. Perbincangan (agihan) kerusi (PRU15) bukan perbincangan di kedai kopi. Sebaliknya ia perlu dilakukan dengan terperinci dan dalam situasi menang-menang.

“Lebih baik buat masa ini kita (pemimpin politik) tumpukan kepada usaha menangani Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.Sebagaimana UMNO mahu mengukuhkan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional, Razali turut menegaskan Bersatu juga kini cenderung mengukuhkan kerjasama dengan Pas, selain parti-parti lain dalam PN.

“Gabungan kerajaan (PN) diwujudkan di peringkat Persekutuan, jadi tidak sepatutnya menteri besar atau mana-mana pihak bercakap tentang agihan kerusi buat masa ini,” katanya.

Razali juga pernah menggesa pimpinan tertinggi PN supaya menghentikan perdebatan isu agihan kerusi termasuk di laman sosial.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!