Junta tentera Myanmar potong internet, lepas tembakan
YANGON - Perkhidmatan internet dipotong di Myanmar dan sejumlah tentera ditempatkan di sekitar negara itu pada Isnin sebagai petunjuk bahawa satu tindakan bagi memerangi para penunjuk perasaan antirampasan kuasa akan berlaku.
Tindakan itu dilakukan beberapa jam selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan untuk menyuraikan penunjuk-penunjuk perasaan di utara negara tersebut.
Pihak junta tentera telah meningkatkan usaha untuk menamatkan kempen awam yang menuntut pembebasan pemimpin parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi yang ditahan pada 1 Februari lalu.
Pada tarikh yang sama juga, pihak tentera melakukan rampasan kuasa selepas menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum negara itu yang diadakan pada November tahun lalu yang menyaksikan parti NLD menang besar.
Beberapa pemimpin kanan NLD turut ditahan oleh pihak tentera dalam rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.
Perkhidmatan internet ditutup pada Isnin dan permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya seorang pemerhati dibenarkan datang ke negara tersebut dibuat selepas satu imej video muncul di platform media sosial yang menunjukkan sejumlah kenderaan tentera dan askar-askar bergerak ke beberapa tempat di Myanmar.
Sebuah kumpulan pemantau internet, NetBlocks berkata, arahan kerajaan tentang pemotongan maklumat itu telah menyebabkan hampir keseluruhan perkhidmatan internet tidak dapat diakses.
Pada Ahad lalu, pihak tentera di bandar Myitkyina, utara Myanmar melepaskan gas pemedih mata dan tembakan ke arah sekumpulan penunjuk perasaan sebagai cara untuk menghentikan penyebaran khabar angin tentang penutupan perkhidmatan elektrik.
Seorang wartawan di tempat kejadian berkata, masih tidak pasti sama ada polis menggunakan peluru hidup atau getah dalam kejadian itu.
Media-media tempatan berkata, sekurang-kurangnya lima wartawan yang memantau tunjuk perasaan itu ditahan dan menyiarkan gambar-gambar sejumlah orang cedera dalam kejadian tersebut.
Beberapa bahagian di negara itu menubuhkan pasukan-pasukan pemantau di beberapa kawasan perumahan bagi mengawasi komuniti masing-masing dan mengelakkan penduduk yang menyertai pergerakan antirampasan kuasa ditangkap.
"Kami tidak percaya sesiapa lagi pada ketika ini terutamanya yang memakai pakaian seragam," kata seorang anggota pasukan pemantau itu di Yangon, Myo Ko Ko kepada AFP.
Suu Kyi yang merupakan pemenang Anugerah Nobel Keamanan pada tahun 1991 berada dalam tahanan di rumah ketika Myanmar diperintah oleh tentera pada tahun 1989 dan tidak dilihat di khalayak ramai sejak ditahan pada 1 Februari lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!