Bersatu sedia bantu Gerakan 'bertapak' di Kelantan

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor
A
A
A

PASIR PUTEH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan sedia memberikan kerjasama kepada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk 'bertapak' di negeri ini bagi menarik sokongan kaum bukan Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, kerjasama itu bertepatan dengan penyertaan parti tersebut ke dalam PN secara rasmi pada Khamis lalu.

"Walaupun Gerakan belum bertapak di Kelantan, namun kami sedia membuka jalan kepada mereka untuk berada di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kehadiran Gerakan amat dialukan untuk mengukuhkan sokongan kaum bukan Melayu terhadap PN.

Beliau berkata, PN memerlukan 'suara' dari parti bukan Melayu selari dengan kepelbagaian kaum yang ada di negara ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, pihaknya menyambut baik kemasukan Gerakan dalam PN yang disifatkan mampu menambah keyakinan rakyat bukan Melayu kepada PN.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Gerakan secara rasmi menganggotai PN sebagai parti komponen dan perkara itu disahkan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Selain Gerakan, pada masa ini PN dianggotai Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!