'Sugar daddy': Polis buru individu terlibat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis kini sedang mengesan individu yang terlibat aplikasi Sugarbook untuk siasatan berikutan aplikasi itu didakwa menjadi platform kegiatan tidak bermoral.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam, siasatan dan risikan berkenaan kes ini masih dijalankan.

"Kita dalam proses mengesan mereka yang terlibat.

"Polis juga akan memastikan sama ada aplikasi (Sugarbook) itu menganjurkan perkara seperti yang didakwa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Baru-baru ini media melaporkan Malaysia diletakkan berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia selepas India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.

Pada Ahad, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), berhubung mahasiswa di Lembah Klang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral untuk mencari 'sugar daddy'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan telah dibuka berkenaan kes itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa ramai wanita Malaysia terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai 'sugar baby'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!