Polis Sabah tahan 115 kaki judi
KOTA KINABALU - Polis Sabah menahan seramai 93 individu terlibat kegiatan perjudian dalam Op Limau yang dilakukan sepanjang 1 Februari hingga Ahad.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, sebanyak 12 serbuan dilakukan dalam operasi itu yang turut membawa kepada sebanyak RM117,674 nilai rampasan membabitkan pelbagai kegiatan perjudian.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah melancarkan operasi ini bermula awal bulan hingga 14 Februari dan hasil daripada operasi ini seramai 93 orang ditahan terbabit dalam kegiatan judi Paikaw, Mahjong dan daun terup.
"Semua tangkapan yang berusia antara 29 hingga 80 tahun juga dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Hazani, selain itu, PDRM Sabah turut melakukan serbuan terhadap aktiviti perjudian membabitkan sabung ayam.
"Sebanyak enam serbuan dilakukan dengan seramai 22 individu ditangkap kerana melakukan aktiviti perjudian sabung ayam dan mereka turut dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.
"Jumlah keseluruhan rampasan bagi perjudian sabung ayam bernilai RM1,268," katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung pematuhan SOP sepanjang empat hari bermula Khamis hingga Ahad Hazani berkata, sebanyak 116 kompaun dikeluarkan atas kesalahan ingkar mematuhi SOP ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!