Slogan 'Kita jaga kita' hiasi mural hargai jasa 'frontliners'

Iskandar 41 (kiri) bersama Rahani (kanan) melihat lukisan mural 
“Kita Jaga Kita” yang kini menjadi slogan masyarakat Malaysia dalam memerangi Covid-19. Foto Bernama
Iskandar 41 (kiri) bersama Rahani (kanan) melihat lukisan mural 
“Kita Jaga Kita” yang kini menjadi slogan masyarakat Malaysia dalam memerangi Covid-19. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - 'Kita jaga kita' yang menjadi slogan masyarakat Malaysia dalam memerangi Covid-19 serta gambar petugas barisan hadapan adalah antara yang diabadikan pada mural gergasi di Hospital Columbia Asia-Tebrau di sini.

Mural sepanjang 152.4 meter dan setinggi kira-kira enam meter itu merupakan curahan idea dua pelukis tempatan Iskandar Noor Rahim, 41, dan Muhamad Razali Abd Aziz, 36, serta seorang pembantu.

Mural berkenaan juga merupakan sebahagian inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Balai Seni Lukis Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersempena Kempen Pembudayaan Normal Baru Covid-19, bertujuan memberi kesedaran dan mengenang jasa barisan hadapan dalam menentang pandemik, melibatkan enam zon di seluruh negara.

Menurut Iskandar yang turut dikenali sebagai Akeem, sepanjang perjalanan seninya, itu merupakan pengalaman pertamanya melukis mural mengenai Covid-19 selain menjadi lukisan mural yang terbesar dan terpanjang pernah dihasilkannya.

Selain mengindahkan persekitaran hospital swasta itu, mural tersebut merupakan tanda penghargaan terhadap setiap titik peluh dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani penularan wabak Covid-19, katanya.

“Mesej yang kami nak sampaikan ialah kita semua bertanggungjawab untuk menghentikan pandemik Covid-19 ini. Kita tak tahu dan tak nampak virus ini... mungkin tubuh badan kita kuat tapi keluarga kita, kita tak tahu, jadi saya harap masyarakat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk kebaikan kita bersama.

“Pada saya, jika orang lihat lukisan mural di tepi jalan besar seperti ini, secara tidak langsung orang awam akan sedar betapa pentingnya SOP dalam kehidupan pada ketika ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurut Iskandar, dia bersama Muhamad Razali menyiapkan lukisan mural itu dalam masa 10 hari.

Artikel Berkaitan:

“Cabaran utamanya ialah mendapatkan idea sebab mural bertemakan Covid-19 ini dah ada di tempat lain, jadi kita tak nak hasil karya tu sama dengan tempat yang lain,” katanya yang berjinak dalam bidang lukisan pada usia lima tahun.

Menurutnya mereka berdua menghasilkan lima reka bentuk yang kemudian dipilih oleh Hospital Columbia dan Balai Seni Lukis Negara.

Mula menjadi pelukis mural sepenuh masa pada 2010, Iskandar berkata hingga kini dia telah menghasilkan lebih 200 mural.

“Selain lukisan terbaharu ini, ada satu lukisan mural yang memberi kesan mendalam kepada saya, berkisarkan sejarah perang yang pernah berlaku di Parit Sulong yang saya lukis di sebuah tangki air pada 2019.

“Saya rasa lukisan mural itu yang paling menarik sebab saya mengkaji tentang sejarah yang tak ramai yang tahu dan saya dapat memberitahu masyarakat tentang sejarah ini melalui lukisan tersebut,” katanya yang berharap karya terbaharunya dapat menyuntik kesedaran masyarakat akan kepentingan mematuhi SOP.

Sementara itu, Pengurus Besar Wilayah Hospital Columbia Asia Tebrau Rahani Yaacob berkata, kerjasama yang terjalin antara mereka dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat telah berjaya merealisasikan mural itu sekali gus mengukuhkan imej korporat hospital tersebut.

Beliau juga berharap mural berkenaan akan memberikan inspirasi kepada semua anggota masyarakat untuk meningkatkan usaha memutuskan rantaian pandemik itu dengan lebih berkesan dan secara berterusan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!