Warga emas rugi RM3.8 juta ditipu kenalan Facebook

Seorang warga emas kerugian lebih RM 3.8 juta selepas diperdaya kenalan di Facebook yang menawarkan geran bantuan kononnya dari Tabung Kewangan Antarabangs. Gambar hiasan - Foto 123RF
Seorang warga emas kerugian lebih RM 3.8 juta selepas diperdaya kenalan di Facebook yang menawarkan geran bantuan kononnya dari Tabung Kewangan Antarabangs. Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas kerugian lebih RM 3.8 juta selepas diperdaya kenalan di Facebook yang menawarkan geran bantuan kononnya dari Tabung Kewangan Antarabangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata, pada Julai lalu lelaki berusia 74 tahun itu berkenalan dengan seorang individu bernama "Freddie Khoo" yang menjanjikan geran bantuan sebanyak ASD150,000.

"Mereka kemudian berhubung melalui WhatsApp dan mangsa diminta membuat pembayaran terlebih dahulu sebelum mendapatkan geran bantuan tersebut.

"Mangsa membuat pembayaran kali pertama berjumlah RM12,800. Kemudian suspek menaikkan jumlah bantuan geran kepada ASD900,000 supaya mangsa dapat membuat pembayaran lebih baik bagi mendapatkan geran tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Salleh, mangsa membuat pembayaran lebih RM 3.8 juta menerusi 64 transaksi ke dalam 10 akaun bank sepanjang Julai hingga Disember 2020.

"Suspek beritahu mangsa, geran bantuan ditawarkan itu ditamatkan. Mangsa perlu membuat permohonan semula. Mangsa merasakan dirinya telah ditipu kerana tidak mendapat geran sebagaimana yang dijanjikan dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi," katanya.

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!