NGO Malaysia kutuk tindakan Elly Pamatong bakar Jalur Gemilang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia mengutuk tindakan seorang lelaki, Elly Pamatong yang mencetuskan kontroversi membakar Jalur Gemilang di Filipina pada 19 dan 21 Januari lepas.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata IRIMM serta beberapa NGO lain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Pamatong yang mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.

“Kerajaan Filipina harus campur tangan agar perbuatan membakar Jalur Gemilang tidak berulang lagi,” katanya selepas menghantar memorandum di Kedutaan Besar Filipina, di sini, hari ini.

Amir merujuk video kontroversi yang disiarkan dalam akaun Facebook “President Pamatong Supporters” pada 19 dan 21 Januari lepas, yang memaparkan beliau sebagai pengasas “United States Allied Freedom Fighters of the East” (USAFFE), membakar bendera Malaysia di Filipina.

Dalam video itu, Elly Pamatong dikatakan mengeluarkan kenyataan mengutuk Malaysia termasuk, ‘Malaysia menceroboh Sabah’.

Pada 7 Februari Wisma Putra dalam satu kenyataan menggesa kerajaan Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Pamatong dan memastikan insiden serupa tidak berulang kerana ia mampu menjejaskan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Filipina sekarang.

Pihak kerajaan Filipina pula berkata ia tidak setuju dengan tindakan Pamatong itu dan perbuatan beliau tidak mewakili pendirian negara itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!