Tempoh tahanan Suu Kyi dilanjut hingga Rabu ini
YANGON - Tempoh tahanan pemimpin parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi dilanjutkan sehingga Rabu ini untuk menghadiri perbicaraan berhubung pertuduhan terbaru yang dikenakan pemerintah junta tentera ke atas beliau.
"Perbicaraan itu pada mulanya dijadualkan pada hari ini. Kami hadir untuk menyerahkan surat dan berbincang dengan hakim daerah yang kemudiannya melanjutkan tempoh tahanan tersebut," kata peguamnya, Khin Maung Zaw.
Menurutnya, penerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 itu juga dijangka tampil menerusi sidang video ketika prosiding tersebut.
Ketika disoal tentang keadilan prosiding itu, Maung Zaw hanya menjawab, 'sama ada ia adil atau tidak, anda boleh putuskan sendiri'.
Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah junta tentera Myanmar bertindak segera menyekat akses internet dan mengerahkan
anggota tentera tambahan ke seluruh negara pada Isnin selepas ia mula gusar dengan kemaraan kumpulan protes antirampasan kuasa yang masuk minggu kedua,
Kumpulan pemerhati bebas, NetBlocks mengesahkan 'internet blackout' yang menjejaskan capaian internet telah berkuat kuasa di seluruh negara.
"Data rangkaian menunjukkan sambungan akses itu bagaimanapun kembali pulih pada tahap biasa. Namun, kebanyakan pengguna masih berdepan sekatan untuk menggunakan media sosial," ujarnya.
Pasukan tentera tambahan telah mula berkawal di beberapa lokasi utama di sekitar Yangon termasuk kenderaan tentera ditempatkan berhampir bank pusat.
Rakaman secara langsung yang dikongsi di platform media sosial sebelum akses internet disekat turut memaparkan tentera bersama kenderaan mereka mula bergerak ke seluruh negara.
Bagaimanapun, kumpulan protes prodemokrasi tidak menghiraukan kehadiran pasukan tentera tersebut apabila ratusan pelajar jurusan kejuruteraan dan teknologi tetap mengadakan demonstrasi di daerah utara Yangon.
Sejak minggu lalu, pasukan keselamatan juga mula menggunakan tindakan kekerasan termasuk melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup atau getah untuk menyuraikan kumpulan tersebut yang menggunakan simbol hormat tiga jari seperti gerakan protes antikerajaan di Thailand.
Keengganan kumpulan protes terbabit untuk berundur dan berterusan mengingkari arahan junta tentera menyebabkan kemelut di negara itu dikhuatiri semakin meruncing.
Duta Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK) menerusi satu kenyataan bersama menggesa pasukan keselamatan supaya tidak menggunakan tindakan kekerasan ke atas orang awam yang membantah tindakan Angkatan Tentera Myanmar (Tatmadaw) menggulingkan kerajaan awam yang sah.
Minggu lalu, langkah 'internet blackout' gagal untuk menyekat gerakan prodemokrasi itu yang semakin mendapat momentum di seluruh negara. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!