Beregu profesional boleh berlatih di ABM

Peng Soon dan Liu Ying kini giat memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Peng Soon dan Liu Ying kini giat memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

PEMAIN profesional bagi acara beregu yang mahu menjalani latihan perlu menyertai kem latihan secara kuarantin di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, tidak timbul persoalan persiapan ke kejohanan kelayakan Olimpik terjejas bagi pemain profesional kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah bersetuju untuk membenarkan pemain dari luar skuad kebangsaan untuk melakukan latihan di ABM.

Beliau turut menegaskan bahawa ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada masa ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya memberi kelonggaran kepada acara perseorangan di mana-mana fasiliti lain bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Untuk pemain profesional dan atlet elit, tidak timbul persoalan tidak boleh melakukan latihan bagi acara beregu, tetapi mereka perlu berada dalam gelembung sukan di ABM, bukannya kuarantin di rumah atau latihan di tempat lain supaya tidak wujud kemungkinan untuk jangkitan.

“Kita tidak boleh buat terlalu banyak pendekatan secara kuarantin tetapi Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berbesar hati untuk membenar pemain profesional untuk turut mengikuti latihan di ABM,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis sukan di Kuala Lumpur pada Ahad.

Beliau berkata, pendekatan sama telah dilaksanakan ketika latihan program ‘Road to Tokyo’ pada tahun lalu.

Sebelum ini, pemain beregu campuran, Goh Liu Ying menyatakan bahawa sukar bagi dia dan pasangannya, Chan Peng Soon untuk mengikuti SOP ketat dan latihan berasingan ketika ini dalam memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu yang dijangka membuka kempen kelayakan pada Terbuka Switzerland bermula 2-7 Mac ini, diikuti All England (17-21 Mac), manakala satu lagi kejohanan kelayakan, Terbuka Jerman yang dijadual pada 9-14 Mac, dibatalkan berikutan sekatan dikenakan negara itu untuk mengekang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Peng Soon-Liu Ying berada di landasan terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo apabila menduduki ranking ketujuh dunia, dan menerusi ranking ‘Race to Tokyo’ Persekutuan Badminton Dunia (BWF), mengatasi satu lagi pasangan negara Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, yang menduduki tangga ke-11 dunia.

Sukan Olimpik Tokyo dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!