Jangan laksana PRU15 selagi pendaftaran pengundi 18 tahun tidak dibuat
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta menyatakan komitmen untuk tidak mengumumkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sehingga pendaftaran pengundi 18 tahun dilaksanakan.
Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak mahu melaksanakan undi 18 tahun yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai 2019 ketika Pakatan Harapan (PH) masih memerintah.
"Sekiranya kita mahu kerajaan yang kompeten terpilih, golongan muda yang berumur 21 tahun ke atas (yang kini layak) harus mendaftar untuk mengundi sekarang dan tidak (perlu) menunggu sehingga pendaftaran automatik berlaku," ciapnya di Twitter pada Isnin.
Dewan Rakyat pada Julai 2019 meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun depan.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini dalam proses melakukan beberapa persiapan untuk pelaksanaan perkara itu termasuk bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!