Mayat wanita ditemui dalam Tasik Taman Jaya
PETALING JAYA - Mayat seorang wanita ditemui terapung dalam Tasik Taman Jaya di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.09 pagi.
"Berdasarkan maklumat, terdapat mayat terapung ditemui di tasik berkenaan, sebelum dibawa naik dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, menurut saksi kejadian yang juga merupakan pekerja di kawasan berkenaan mendakwa dia telah melihat mangsa sedang melakukan senaman berdekatan dengan tasik tersebut pada jam 8 pagi.
"Saksi tersebut kemudian telah menjumpai mayat terapung di dalam tasik dipercayai mangsa yang dilihat sejam yang lalu," katanya.
Nik Ezanee berkata, siasatan lanjut pihaknya tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada badan mangsa.
"Setakat ini, tiada elemen jenayah dikesan, kes diklasifikasikan sebagai ‘mati mengejut’ sementara menunggu keputusan bedah siasat dari Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!