1,000 permohonan BSH dalam tempoh 3 hari

Ronald (tengah) membantu penduduk membuat permohonan BSH di kaunter bergerak yang dibuka.
Ronald (tengah) membantu penduduk membuat permohonan BSH di kaunter bergerak yang dibuka.
A
A
A

PONTIAN - Lebih 1,000 permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) diterima dalam tempoh tiga hari kaunter perkhidmatan bergerak BSH dibuka di Pekan Benut, Pekan Ayer Baloi dan Kayu Ara Pasong.

Kaunter perkhidmatan bergerak BSH berkenaan adalah inisiatif PKR Cabang Pontian dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, orang ramai juga boleh membuat semakan terhadap bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi kaunter yang turut dibuka.

Ketua Cabang, Ronald Sia berkata, kaunter perkhidmatan bergerak BSH bertujuan memudahkan penduduk di kawasan luar bandar membuat permohonan atau semakan dengan mudah tanpa mereka perlu bersusah payah ke pejabat cawangan LHDN di bandar Pontian.

Menurutnya, sepanjang kaunter dibuka sambutan diberikan amat baik apabila rata-rata penduduk gembira kerana dapat membuat permohonan dan semakan BSH dengan mudah.

“Permohonan bagi mendapatkan BSH akan berakhir pada 15 Mac ini. Kita mahu membantu mereka yang layak mendapatkan bantuan ini membuat permohonan dan semakan melalui kaunter bergerak yang dibuka.

“Dokumen lengkap seperti salinan Mykad suami isteri dan anak-anak berumur 18 tahun ke bawah, sijil nikah, sijil kematian dan slip gaji antara yang perlu dikemukakan bersama borang permohonan BSH,” katanya.

Ronald berkata, semakan BSH kali ini agak ketat bagi memastikan hanya yang benar-benar layak memperoleh bantuan kewangan yang diberikan kerajaan itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin kerajaan akan mengkaji semula syarat BSH dari masa ke semasa apabila keadaan kewangan negara kita diisytiharkan stabil kelak."katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!