Penerima hati, Mohd Afiq belum sedar
SELAYANG - Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini, 23, yang pernah menjalani pemindahan hati ketika kecil kini dimasukkan ke Hospital Selayang di sini sejak Sabtu lalu.
Bapanya, Muhammad Zaini Rahim, 50, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya di Rawang.
Sehari sebelum kejadian katanya, anaknya mengadu sakit perut disebabkan gastrik.
"Malam sebelum kejadian, dia ada mengadu sakit perut dan tidak boleh tidur. Pagi esoknya, dia bangun bersarapan dan makan ubat sebelum tidur semula.
"Pada tengah hari sewaktu kami kejutkan dia untuk makan ubat, dia tidak beri tindak balas dan terus dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Muhammad Zaini berkata, doktor kini sedang berusaha untuk menstabilkan keadaan Mohd Afiq Ikmal selepas berlaku 'rejection' yang menyebabkan hatinya tidak berfungsi dengan baik.
"Apa yang penting sekarang adalah bagi memastikan keadaannya stabil dahulu. Kemudian barulah fikir rawatan selanjutnya sama ada pembedahan susulan atau pemindahan hati.
"Buat masa ini keluarga berserah. Kami tak tahu keadaannya sama ada dia dapat kembali pulih atau tidak. Kami memang dimaklumkan akan ada komplikasi semasa pembedahan dulu, tapi ia juga bergantung kepada keadaan," katanya.
Menurutnya, anaknya itu bergantung kepada ubat-ubatan selepas menjalani pembedahan pemindahan hati selain rawatan susulan serta sering keluar masuk hospital.
"Dia boleh berjalan, naik basikal pun boleh cuma tak kuat. Sebelum sakit dia sempat belajar bawa kereta dan dalam perancangan untuk ambil lesen kereta.
"Imunisasi dia lemah dan mudah jatuh sakit. Apabila demam atau paru-paru bermasalah, dia akan dimasukkan dalam wad. Cuma ini kejadian pertama dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!