Mahkamah rayuan dengar permohonan Rosmah

Rosmah. - Foto Bernama
Rosmah. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 April ini bagi mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuahnya.

Peguam beliau, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Pengurusan kes untuk rayuan itu dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Darmafikri Abu Adam pada 8 Februari lalu.

Pada 19 Ogos tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan berkata, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu tidak mengemukakan sebarang justifikasi untuk beliau memperoleh surat pelantikan tersebut.

Rosmah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah yang dihadapinya berhubung pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah berdepan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta suapan daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu.

Rasuah itu didakwa diterima menerusi bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Tinggi menetapkan Khamis ini (18 Februari) untuk memutuskan sama ada memanggil Rosmah membela diri atau melepaskan beliau daripada kesemua tiga pertuduhan tersebut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!