MPT Pejuang angkat sumpah depan al-Quran, tolak rasuah
SHAH ALAM - Semua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah mengangkat sumpah di depan al-Quran atau bai'ah bagi menolak rasuah.
Presiden (Penaja) Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan barisan kepimpinan berpegang teguh kepada integriti dan patuhi semua asas penubuhan parti.
"Ahli MPT (Pejuang) telah melalui satu proses yang agak rumit. Semua ahli ini telah mengangkat sumpah depan al-Quran," katanya pada sidang akhbar Pejuang yang dibuat secara maya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, sumpah bai'ah itu juga akan diperluas kepada kepimpinan peringkat negeri nanti.
Katanya, buat masa ini, parti tidak berhasrat untuk mewajibkan ahli biasa melakukan sumpah berkenaan.
"Tujuan sumpah ini kita rasa semua orang faham tapi saya sekali ulangi bahawa ia tidak menjamin semua orang akan kekal dengan sumpah itu," katanya.
Jelasnya, ketika bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini, perkara sama turut dilakukan tetapi tetap ada yang mungkiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!