20 guni daun ketum dirampas

Sebanyak 510 kilogram daun ketum yang dimasukkan dalam 17 guni putih dirampas di Felcra Lubuk Sireh. Foto Ihsan PGA
Sebanyak 510 kilogram daun ketum yang dimasukkan dalam 17 guni putih dirampas di Felcra Lubuk Sireh. Foto Ihsan PGA
A
A
A

PADANG BESAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 20 guni daun ketum bernilai RM18,000 dalam dua kes berasingan pada Ahad.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, rampasan pertama membabitkan sebanyak 17 guni putih mengandungi daun ketum bernilai RM15,300 dilakukan anggota Batalion 1 PGA di Felcra Lubuk Sireh, Simpang Lima, Kaki Bukit.

Menurutnya, anggota yang sedang melakukan pemeriksaan terserempak dengan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di Pos Simpang Lima, Lubuk Sireh sekitar 5.45 petang.

“Bagaimanapun, kumpulan lelaki tersebut melarikan diri ke arah hutan berdekatan apabila dihampiri anggota PGA. Pemeriksaan menemui daun ketum dengan anggaran berat 510 kilogram,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Abdul Ghani berkata, kesemua barang rampasan itu dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.

“Tiada tangkapan dilakukan dalam Op Benteng Covid, Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia-Thailand itu,” katanya.

Dalam kes berasingan, sebanyak 90 kilogram daun ketum bernilai RM2,700 ditemui berhampiran tiang elektrik 875 Pos Padang Besar 19, kira-kira jam 9 pagi.

“Ketika rondaan di kawasan berkenaan, anggota terserempak dengan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan menunggang motosikal dengan membawa guni putih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kumpulan lelaki tersebut bertindak memecut motosikal ke kebun getah berhampiran selepas menyedari kehadiran anggota PGA.

“Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar menemui tiga guni putih mengandungi daun hijau dibalut plastik lut sinar disyaki daun ketum yang ditinggalkan kumpulan lelaki tersebut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!