Doa rakyat Malaysia untuk calon SPM 2020
PADA waktu ini semua 400,445 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang bertungkus-lumus membuat persiapan terakhir.
Mereka akan berjuang untuk menghadapi peperiksaan yang penting dalam kehidupan pada minggu depan.
Golongan ibu bapa juga tidak terkecuali berdoa siang dan malam supaya anak-anak mereka berjaya untuk menghadapi peperiksaan besar itu.
Peperiksaan pada kali ini memang mendebarkan semua pihak termasuk guru kerana inilah peperiksaan paling mencabar dalam sejarah negara.
Calon-calon SPM 2020 terpaksa belajar dalam keadaan yang sukar apabila pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun lalu.
Sudah pasti mereka belajar dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat bertemu secara bersemuka dengan guru masing-masing dalam tempoh lama.
Ramai dalam kalangan calon mengeluh dan melahirkan kebimbangan mereka tidak dapat melakukan persediaan yang cukup.
Kita semua amat simpati dengan nasib yang menimpa calon-calon SPM ini.
Merak Jalanan memohon agar seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan agar mereka dapat melakukan yang terbaik.
Merak Jalanan juga yakin bahawa semua pihak sudah melakukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita.
Seperti kata Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin supaya semua calon bertenang dan cuba yang terbaik untuk menjawab soalan nanti.
Sehubungan itu, Merak Jalanan ingin mengambil kesempatan untuk meminta pihak kementerian dan lembaga peperiksaan mengkaji semula tentang kaedah terbaik untuk calon peperiksaan yang akan datang.
Ini kerana kita mungkin terpaksa berhadapan dengan Covid-19 dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi sehingga program vaksin mula dilaksanakan di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!